Pemimpin Islam AS enggan sokong Biden kerana 'membiarkan perang di Gaza' - Utusan Malaysia

Pemimpin Islam AS enggan sokong Biden kerana ‘membiarkan perang di Gaza’

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemimpin Islam Amerika Syarikat (AS) dari enam negeri berikrar menolak pencalonan semula Presiden Joe Biden dalam pilihan raya akan datang kerana beliau menyokong perang Israel di Gaza.

Kumpulan pemimpin itu akan menggunakan pengaruh dan sentimen hak asasi manusia bagi meraih sokongan daripada rakyat AS yang kebanyakannya juga menentang kekejaman Zionis di Palestin.

Bagaimanapun, kumpulan pemimpin dari Michigan, Minnesota, Arizona, Wisconsin, Florida, Georgia, Nevada dan Pennsylvania itu belum membuat sebarang keputusan siapa bakal mereka calonkan pada tahun depan.

Enam negeri berkenaan mempunyai sebahagian penyokong yang menyumbang kepada kemenangan Biden pada pilihan raya 2020.

Sehubungan itu, penentangan masyarakat Islam dan Arab Amerika yang besar dilihat boleh merumitkan laluan Biden untuk mencapai kemenangan sekali lagi dalam pilihan raya tahun depan.

Menjawab mengenai siapa alternatif selain Biden, Pengarah Bahagian Majlis Hubungan Amerika-Islamik (CAIR) Minnesota, Jaylani Hussein, mengakui pihaknya tidak mempunyai dua pilihan.

“Kami tidak menyokong (bekas Presiden Donald) Trump,” katanya sambil memaklumkan komuniti Islam di negara ini akan memutuskan cara untuk memilih calon dikehendaki.

Komuniti Islam Amerika di Minnesota memulakan kempen yang digelar #AbandonBiden dengan menuntut Biden untuk mengisytiharkan gencatan senjata.

Terdahulu, pegawai AS dan Israel menolak desakan beberapa pihak untuk menghentikan serangan terhadap Gaza apabila Naib Presiden AS, Kamala Harris senada dengan Biden bahawa rejim Zionis mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

Berdasarkan tinjauan baru-baru ini menunjukkan, sokongan terhadap Biden dalam kalangan orang Arab Amerika merosot.

Menurut Institut Arab Amerika, dapatan itu boleh menjadi penentu di negeri seperti Michigan di mana Biden menang sebanyak 2.8 peratus dengan orang Arab Amerika menyumbang undi lima peratus. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya