NEW DELHI: Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza akan memusnahkan kredibiliti organisasi dunia, kata kerajaan sementara Afghanistan.
Afghanistan pada Sabtu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis itu kerana membunuh ratusan rakyat Palestin sejak meneruskan pengeboman pada Jumaat selepas gencatan senjata selama seminggu.
Pentadbiran Afghanistan menggesa negara-negara berpengaruh dan badan hak asasi manusia supaya segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki.
“Kesinambungan pembunuhan beramai-ramai di Palestin akan menghapuskan kredibiliti organisasi antarabangsa dan konvensyen kemanusiaan yang sudah lemah,” katanya menerusi kenyataan.
Iran gesa gencatan senjata kekal untuk menghentikan ‘jenayah’ Israel di Gaza
Israel telah pun membunuh atau mencederakan hampir 2.5 peratus penduduk Gaza sejak ia mula mengebom kawasan Palestin yang terkepung pada 7 Oktober.
Angka kematian akibat serangan Israel ke atas Gaza telah melangkaui 15,200 dan 70 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak dan wanita manakala bilangan mereka yang cedera adalah lebih 40,600 orang.
Tentera Israel telah memusnahkan banyak masjid, hospital dan sekolah sambil memadamkan keseluruhan kawasan perumahan.