PRAGUE: Seorang pelajar Republik Czech berusia 24 tahun membunuh sekurang-kurangnya 15 individu dan mencederakan 24 yang lain di universitinya di sini, semalam, sebelum dia juga terbunuh.
Menurut Ketua Polis Prague Martin Vondrasek, ia disifatkan sebagai insiden tembakan rambang paling buruk di negara itu.
Katanya, terdahulu pada hari sama, pihak berkuasa dimaklumkan pelajar lelaki itu berkemungkinan menuju ke Prague dari tempat tinggalnya di sebuah bandar di wilayah Kladno, dengan niat untuk membunuh diri.
Tidak lama selepas itu, bapa penembak itu ditemui mati.
Polis mengosongkan bangunan Fakulti Sastera Universiti Charles, di mana penembak sepatutnya menghadiri kuliah, tetapi kemudian menerima panggilan di bangunan yang berbeza di fakulti itu.
Polis tiba beberapa minit selepas laporan tembakan diterima, kata Vondrasek.
“Kami mempunyai maklumat baru yang belum disahkan daripada akaun di media sosial bahawa dia dikatakan didorong oleh satu serangan pengganas di Rusia pada musim luruh tahun ini,” kata Vondrasek kepada pemberita, sambil menambah, penembak itu merupakan pemegang lesen beberapa senjata api.
Katanya, kematian lelaki bersenjata itu mungkin akibat bunuh diri tetapi pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada dia mungkin terbunuh oleh peluru polis.
Polis meminta untuk tidak mendedahkan identiti lelaki tersebut.
Polis menutup lokasi kejadian dan kawasan berdekatan, yang terletak di sebuah bandar yang sibuk, menuruni bukit dari Istana Prague.