MADRID: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan pekerja lapangan terbang terlibat dalam kegiatan curi barangan daripada bagasi penumpang yang membabitkan kerugian hampir 1.7 juta pound (RM10.09 juta) di sebuah tempat percutian di Sepanyol.
Lapor Daily Mail, polis menahan seramai 14 orang dan sedang menyiasat 20 lagi berikutan menerima aduan berkaitan kecurian barang daripada bagasi penumpang yang sudah di daftar masuk di Lapangan Terbang Tenerife South.
Pesawat Ryanair, easyJet dan British Airways antara syarikat penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang tersebut.
Kumpulan pekerja itu dikatakan memuat dan membawa keluar bagasi penumpang yang sudah di daftar masuk pada kadar lebih perlahan agar mereka mempunyai lebih masa untuk menyelongkar beg berkenaan di tempat penyimpanan.
“Mereka akan menebuk zip untuk membukanya dan mengeluarkan barang berharga dari dalam, lalu menutup zip itu semula tanpa meninggalkan sebarang tanda gangguan,” jelas laporan.
Kegiatan curi kumpulan pekerja itu kadangkala tersembunyi dari pandangan dengan bagasi penumpang lain.
Namun, kumpulan pekerja itu juga dikatakan mengeksploitasi kain terpal digunakan untuk menghentikan bagasi yang menggelosor di dalam tempat penyimpanan.
Antara barang berharga penumpang yang dicuri adalah barang kemas, telefon bimbit, jam tangan dan peralatan elektronik yang disembunyikan di dalam loker atau pakaian dengan jahitan khas.
Satu video rakaman operasi serbuan menunjukkan anggota polis sedang membuka loker untuk mencari sepasang penutup telinga pesawat dengan cincin emas tersembunyi di dalam alat pendengaran.
Beberapa gambar barangan dirampas menunjukkan timbunan wang tunai, Playstation 5 dan Nintendo Switch serta telefon bimbit dan jam tangan berjenama.
Nilai keseluruhan barang dicuri dianggarkan berjumlah 1.68 juta pound (RM9.97 juta).
Sementara itu, Pengawal Awam Sepanyol menerusi kenyataan mengesahkan pasukannya melakukan beberapa serbuan termasuk di loker pekerja lapangan terbang, kenderaan persendirian dan rumah mereka.
“Secara keseluruhan, kami berjaya merampas 29 jam tangan mewah, 120 barang kemas termasuk emas dan batu pertama, 22 telefon bimbit, peranti elektronik, wang tunai berjumlah 13,000 euro (RM66,320) dan sebuah kenderaan mewah,” jelas kenyataan itu.