PBB sahkan Zionis mahu paksa pindah penduduk Gaza ke Mesir

PBB sahkan Zionis mahu paksa pindah penduduk Gaza ke Mesir

SEORANG kanak-kanak Palestin yang cedera akibat serangan tentera Zionis menerima rawatan di Hospital al-Aqsa di Deir Balah, tengah Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Situasi yang semakin tidak menentu di Gaza menyebabkan penduduknya hanya mempunyai satu pilihan, iaitu meninggalkan wilayah tersebut.

Menurut Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), tentera Israel ketika ini ‘berusaha keras’ untuk mengosongkan Gaza dengan memindahkan penduduknya ke Mesir.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, Israel turut cuba mewujudkan satu keadaan yang menyaksikan penduduk Palestin tidak akan dapat lagi pulang ke Gaza dan ‘menetap selama-lamanya di Mesir’.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara anggota menolak sekeras-kerasnya pemindahan paksa penduduk Gaza keluar dari wilayah itu,” kata Lazzarini.

DIBANTAH ISRAEL

Namun, tuduhan itu dibantah oleh Kementerian Pertahanan Israel.

Jurucakapnya menyifatkan dakwaan Lazzarini ‘amat melampau’ dan menegaskan Tel Aviv tidak pernah mempunyai perancangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke Mesir.

Terdahulu, dua ahli politik Israel dalam Wall Street Journal memaklumkan mereka berharap negara lain termasuk Mesir dapat menerima pelarian Palestin yang memilih untuk berpindah.

Operasi ketenteraan Zionis memaksa lebih 1.8 penduduk Gaza hilang tempat tinggal.

PUSAT PEMINDAHAN TAK SELAMAT

Dalam pada itu, jelas Lazzarini, pusat pemindahan yang disediakan oleh UNRWA di Gaza juga tidak lagi selamat apabila tentera Zionis terus melancarkan serangan tanpa memeriksa kawasan yang dipenuhi penduduk awam.

Katanya, ‘cakap Israel langsung tidak boleh diguna pakai’ ketika ini kerana serangan demi serangan dilakukan biarpun banyak pihak mendesak mereka supaya menghentikan operasi.

“Semua tidak selamat, hospital, pusat pemindahan, rumah semuanya tidak selamat.

“Bahagian selatan, utara, tengah Gaza juga semua tidak selamat, Israel kata ada tempat selamat namun itu sebenarnya satu pembohongan,” kata Lazzarini.

BERLINDUNG DI SEMPADAN MESIR

Cita-cita Israel untuk memindahkan penduduk Gaza ke Mesir pada sangkaan mereka mungkin berjaya kerana ketika ini, banyak penduduk Palestin berlindung di ‘kawasan kecil’ di sempadan Mesir.

Keadaan itu menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lain, selain masuk ke Mesir.

Jelas Lazzarini, Israel sengaja mencetuskan keadaan itu untuk memaksa penduduk Gaza ke Mesir dan buat seolah-olah mereka yang masuk secara sukarela.

“Israel sengaja bom semua tempat yang boleh diduduki di Gaza dengan harapan penduduk awam berpindah ke sempadan Mesir dan akhirnya terus masuk ke negara itu.

“Selepas berpindah ke Mesir, sudah tentu Israel sesekali tidak akan membenarkan penduduk Palestin pulang ke Gaza,” ujarnya.

DUA LALUAN SALUR BANTUAN

Israel semalam memaklumkan lebih banyak bantuan kemanusiaan akan disalurkan ke Gaza melalui dua laluan tambahan.

Israel akan memeriksa bantuan yang dibawa di lintasan Nitzana dan Kerem Shalom terlebih dahulu sebelum dihantar ke Gaza.

Sebelum ini, bantuan hanya disalurkan menerusi lintasan lintasan Rafah di Mesir.

PBB memaklumkan, kira-kira 100 trak bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza setiap hari berbanding 500 trak sebelum perang tercetus.

Bantuan yang terhad menyebabkan penduduk Gaza berdepan krisis kebuluran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya