PBB gesa selamatkan 185 Rohingya hanyut di Lautan Hindi - Utusan Malaysia

PBB gesa selamatkan 185 Rohingya hanyut di Lautan Hindi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa operasi dilaksanakan segera bagi menyelamatkan 185 etnik Rohingya, kebanyakannya wanita serta kanak-kanak yang hanyut di Kepulauan Andaman dan Nicobar di Lautan Hindi.

Menurut Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian (UNHCR), semua mangsa membabitkan 70 kanak-kanak dan 88 wanita, dipercayai menaiki bot sebelum dilaporkan hilang di kawasan terbabit.

“Sekurang-kurangnya sedozen dikhuatiri berada dalam keadaan kritikal dengan seorang individu dilaporkan sudah meninggal dunia.

“Ramai lagi dikhuatiri akan terkorban tanpa misi menyelamat dan pendaratan ke kawasan darat dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan.

Ribuan Rohingya yang dianiaya di Myanmar melarikan diri ke kem di Bangladesh dan melalui jalan laut setiap tahun untuk cuba memasuki Malaysia atau Indonesia.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini penduduk di Aceh, Indonesia menolak kehadiran pelarian Rohingya, malah tidak membenarkan mereka mendarat berikutan masalah yang ditimbulkan kumpulan etnik itu.

Menurut UNHCR, lebih 2,000 Rohingya dipercayai terpaksa melalui perjalanan berisiko ke negara di Asia Tenggara pada 2022.

Menurut badan itu, sejak tahun lalu lebih 570 orang termasuk pelarian Rohingya, dilaporkan mati atau hilang di laut di wilayah itu.

UNHCR percaya tragedi yang lebih besar boleh dicegah dengan usaha yang dilaksanakan tepat pada waktunya untuk menyelamatkan nyawa.

“Keadaan ini sekali lagi menekankan kepentingan semua negara di rantau ini supaya menggunakan kapasiti mencari dan menyelamat sepenuhnya untuk mengelakkan berlakunya bencana kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap UNHCR, Babar Baloch berkata, agensi terbabit sedang menghubungi semua pihak berkuasa pantai di kawasan berkenaan untuk operasi menyelamat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya