KAHERAH: Biarpun peperangan Israel-Hamas sudah berlanjutan selama tiga bulan di Gaza, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilihat tetap berkeras dan tidak mahu mengalah.
Baru-baru ini, Netanyahu berikrar untuk meneruskan peperangan menentang kumpulan pejuang Hamas.
Penegasan itu dibuat ketika rakyat Palestin bersedih dan berkabung atas kematian ratusan penduduk Gaza yang terbunuh dalam serangan udara Israel semalaman.
Malah, Netanyahu juga tanpa segan melawat pasukan tenteranya di utara Gaza beberapa jam selepas serangan paling buruk berlaku di kawasan tersebut dalam konflik Israel-Hamas yang berlangsung selama 11 minggu.
Israel berdepan tekanan daripada sekutunya, Amerika Syarikat (AS) untuk mengubah operasi di Gaza ke fasa intensiti rendah dan mengurangkan kes kematian membabitkan orang awam.
Bagaimanapun, Netanyahu memberi penggubal undang-undang dari Parti Likud bahawa perang masih belum berakhir dan menolak dakwaan bahawa pihaknya akan menamatkan perang.
“Kami tidak akan berhenti. Peperangan akan diteruskan sehingga penghujungnya atau sehingga kami menyelesaikannya.
“Tiada sesiapa yang menyatakan mengenai penamatan perang, tiada perkara seperti itu.
“Saya tahu tentera Israel meninggalkan keluarga untuk berperang dan keluarga anda menyokong anda. Itulah kuasa dan kunci kemenangan,” katanya semasa lawatan ke Gaza.
Dilaporkan, Netanyahu menentang gesaan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza.
Terdahulu, Netanyahu menegaskan keamanan hanya boleh dicapai di Gaza sekiranya kumpulan pejuang Hamas dimusnahkan.
Beliau berkata demikian selepas memberi amaran perang akan menjadi semakin sengit.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan kira-kira 20,700 penduduk Palestin terbunuh termasuk 250 maut dalam tempoh 24 jam lalu.
Setakat ini, Israel sudah mengepung dan memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza. – REUTERS/AFP