CAPE TOWN: Lima negara di Afrika Timur dan selatan dilanda wabak penyakit antraks, dengan lebih 1,100 kes yang disyaki dan 20 kematian dilaporkan pada tahun ini.
Perkara itu didedahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, sebanyak 1,166 kes yang disyaki dilaporkan di Kenya, Malawi, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.
Jelas agensi kesihatan itu, sebanyak 37 kes sudah disahkan oleh ujian makmal.
“Lima negara itu dilanda wabak bermusim setiap tahun namun Zambia mengalami yang paling teruk sejak 2011, sementara Malawi melaporkan kes pertama manusia tahun ini,” jelas WHO.
Uganda pula merekodkan sebanyak 13 kes kematian.
Antraks biasanya menjejaskan haiwan ternakan seperti lembu, biri-biri dan kambing serta herbivor liar.
Manusia juga boleh dijangkiti sekiranya mereka terdedah kepada haiwan atau produk haiwan yang tercemar.
“Antraks secara amnya tidak dianggap sebagai menular antara manusia walaupun terdapat kes jarang berlaku penularan dari individu ke individu,” kata WHO.
Dalam penilaian berasingan mengenai wabak antraks di Zambia, WHO mengesahkan sebanyak 684 kes yang disyaki dilaporkan, dengan empat kematian direkodkan di negara Afrika selatan itu setakat 20 November lalu.
Kes antraks membabitkan manusia dilaporkan di sembilan daripada 10 wilayah Zambia.
Dalam satu kejadian, seramai 26 orang disyaki dijangkiti penyakit antraks akibat memakan daging badak sumbu yang tercemar.
WHO mengakui terdapat risiko tinggi wabak antraks di Zambia akan merebak ke negara jiran. – AP