JAKARTA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai membunuh empat anaknya yang masih kecil sebelum cuba membunuh diri.
Mayat kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun ditemui Rabu lalu di atas katil di rumah sewa mereka di daerah Jagakarsa di bandar Jakarta Selatan, menurut Jakarta Globe.
Penyiasat menemui nota yang berbunyi ‘puas Bunda (puas hati ibu), tx untuk semua’.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta Selatan, Superintendan Bintoro, berkata bapa kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam tandas dengan kecederaan dilakukan sendiri dan sebilah pisau di tangannya.
“Suspek yang juga bapa kepada mangsa melakukan cubaan membunuh diri dan kini menerima rawatan di hospital,” katanya.
Suspek yang dikenali sebagai Panca Darmansyah, 40, didakwa membunuh keempat-empat anaknya dengan cara menekup muka dan hidung anaknya seorang demi seorang sehingga mati.
Panca menekup hidung anak-anaknya menggunakan tangan, selain turut merakam aksi keji itu.
Selepas kesemua anaknya mati, Panca kemudiannya menyusun mayat anaknya mengikut urutan umur kemudian meletakkan permainan di samping mayat mereka.
Media tempatan melaporkan suspek menyerang isterinya pada 2 Disember lalu hingga mangsa terpaksa dibawa ke hospital dan meninggalkan anak-anaknya bersendirian dengan bapa mereka.
“Isterinya mengalami lebam di dahi dan muntah darah,” menurut jirannya, Titin Rohmah, kepada Jakarta Globe.
Sementara itu, Ketua Polis Jakarta Selatan, Ade Ary Syam Indradi memaklumkan suspek dibawa untuk disoal siasat selepas dilaporkan menyerang isterinya.
Tetapi dibebaskan kemudian kerana mendakwa tidak ada orang lain untuk menjaga anak-anaknya.