MOSCOW: Seorang pakar hidrologi warga Russia menghabiskan masa selama 10 bulan di penjara selepas sistem teknologi kecerdasan buatan (AI) tersalah mengenal pastinya sebagai pembunuh.
Lapor Oddity Central, Alexander Tsvetkov ditahan pada Februari lalu selepas sistem AI menentukan wajahnya sepadan 55 peratus dengan lakaran seorang pembunuh yang dilukis oleh saksi kira-kira 20 tahun lalu.
Alexander yang merupakan saintis dari Akademi Sains Russia Institut Biologi Air, dikatakan menjalani kehidupan bagaikan mimpi ngeri sejak 10 bulan lalu.
Pada Februari lalu, Alexander ditahan sejurus selepas dibawa keluar dari sebuah pesawat semasa melakukan lawatan kerja ke Krasnoyarsk.
Ketika itu, Alexander dimaklumkan bahawa dia dikenal pasti sebagai pembunuh beberapa siri pembunuhan yang berlaku lebih 20 tahun lalu.
Pasukan penyiasat mendakwa Alexander dan seorang lagi individu yang disyaki rakan subahatnya membunuh sekurang-kurangnya dua orang di Moscow dan wilayah Moscow pada Ogos 2002.
“Pasukan itu mengabaikan keterangan beberapa saintis bahawa Alexander berada bersama mereka ketika masa pembunuhan itu,” jelas laporan.
Pembunuhan didakwa dilakukan oleh Alexander berlaku pada 2 Ogos 2002.
Berdasarkan beberapa laporan berita, walaupun terdapat banyak bukti yang boleh membebaskan Alexander dalam kes pembunuhan itu, pihak berkuasa Russia memilih untuk mempercayai perisian berasaskan teknologi AI.
Kes Alexander menjadi tajuk utama berita di Russia selama berbulan-bulan dan berikutan kempen mendesak pembebasannya, saintis itu dibebaskan pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap saintis itu masih belum digugurkan.