SINGAPURA: Permintaan bagi percutian dijangka lebih kukuh pada tahun depan, berdasarkan trend perjalanan pasca Covid-19 yang menyaksikan lebih ramai orang melancong ke luar negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Skyscanner John Mangelaars.
“Ia kelihatan sangat cerah, terutamanya di Asia. Ia masih bangkit semula, tetapi walaupun untuk tahun depan kami menjangkakan pertumbuhan 10 hingga 15 peratus,” katanya.
Menurut laporan Trend Perjalanan platform tersebut untuk 2024, penerokaan budaya akan menjadi keutamaan bagi para pelancong.
Tekanan kos sara hidup yang tinggi, bagaimanapun, tetap menjadi keprihatinan pelancong.
Ini termasuk para pelancong yang melakukan perjalanan ke luar negara untuk menyaksikan artis kegemaran mereka membuat persembahan, dan penggemar makanan yang mencari tempat makanan terbaik, kata Mangelaars, sambil menambah bahawa para pelancong juga ingin meningkatkan percutian mereka dengan cara yang lebih berkesan dari segi kos dengan pengalaman percutian yang berbaloi.
Ini selepas permintaan perjalanan terbukti berdaya tahan sepanjang tahun, walaupun harga tiket lebih tinggi, kata para pemerhati.
Perangkaan terkini mungkin membuat syarikat-syarikat berkaitan percutian lebih bersikap optimis tentang tahun depan.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan industri itu mampu mengekalkan permintaan yang kukuh untuk perjalanan udara pada suku ketiga. Trafik penumpang, diukur dalam bentuk pendapatan penumpang-kilometer (RPK), yang meningkat hampir 30 peratus berbanding setahun lalu.
Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), persatuan lapangan terbang dunia, menyatakan pertumbuhan penumpang yang kukuh tahun ini memastikan industri tersebut menepati sasaran pemulihan trafik penumpang global pada 2024.
Data terbaharu mereka juga menunjukkan bahawa trafik penumpang dijangka mencecah 9.4 bilion tahun ini, yang sudah melepasi paras pada 2019 sebelum Covid-19 melanda, dengan perangkaan itu mungkin meningkat lebih tinggi pada tahun depan.
Syarikat-syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului peningkatan trafik pada suku ketiga, melonjak lebih 75 peratus berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, ACI menyatakan pemulihan perjalanan di rantau ini diramal tumbuh perlahan dengan ketara menjelang akhir tahun ini, berikutan cabaran pada pelancongan luar negara dan kebimbangan ekonomi.