GAZA CITY: Israel menegaskan tidak akan memperbaharui visa seorang kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika konflik antara Zionis dan Hamas berterusan di Gaza.
Malah, rejim Zionis itu juga menyatakan pihaknya akan menolak permohonan visa seorang lagi kakitangan PBB sebagai tanda tidak puas hati terhadap badan global itu.
Sebelum ini, PBB pernah mengecam tindakan Israel melancarkan serangan menyasarkan orang awam dan hospital semasa perang Gaza.
Dilaporkan, sebahagian besar daripada jumlah 20,000 rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel adalah orang awam.
“Kami akan berhenti bekerja dengan pihak yang bekerjasama dengan kumpulan pejuang Hamas.
“Israel tidak akan berdiam diri ketika berdepan dengan hipokrasi PBB,” kata Menteri Luar Israel, Eli Cohen di aplikasi X sepertimana dilaporkan portal Al Jazeera.
Sebelum ini, Israel menuduh PBB bersikap berat sebelah dalam isu konflik di Gaza.
Cohen mengecam dan menyifatkan tindakan PBB sebagai `amat memalukan’ sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu selepas Hamas melakukan serangan mengejut di Israel.
Pegawai PBB mengkritik serangan Israel yang menyasarkan kawasan kediaman, sekolah dan hospital serta sekatan ke atas penghantaran bantuan semasa pengepungan di Gaza susulan serangan 7 Oktober lalu.
Lebih 100 pengamal media, kira-kira 270 kakitangan perubatan dan sekurang-kurangnya 134 kakitangan PBB terbunuh dalam serangan Israel.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berulang kali menggesa gencatan senjata, selain mengecam krisis kemanusiaan yang berlaku ketika ini di Gaza.