GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 241 penduduk Palestin terbunuh di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu ketika operasi ketenteraan Israel berterusan di wilayah itu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 382 orang turut cedera dalam tempoh yang sama.
Jelas kementerian, sekurang-kurangnya 20,915 rakyat Palestin terkorban dalam pertempuran di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Lapor BBC, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengecam dan menyifatkan perang itu sebagai `jenayah besar; terhadap rakyat Gaza.
Ketua tentera Israel, Herzi Halevi menegaskan pertempuran pihaknya dengan kumpulan pejuang Hamas akan berterusan untuk beberapa bulan lagi.
Semalam, Israel memaklumkan pasukan tenteranya melancarkan serangan menyasarkan lebih 100 tapak di tengah-tengah laporan mengenai operasi darat yang akan berlaku di Gaza.
Di Tebing Barat, pegawai perubatan Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya enam penduduk terbunuh dalam serangan dron Israel di kem pelarian Nur Shams di Tulkarem, semalaman.