GAZA: Kemusnahan besar kawasan kediaman dan kedaifan yang semakin buruk di kem pelarian menjadikan Gaza kini sebagai lokasi yang tidak lagi layak dihuni oleh manusia.
Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, penduduk Gaza kini bersesak-sesak di kurang daripada satu pertiga daripada wilayah asal berhampiran sempadan Mesir.
BUKAN TEMPAT DIHUNI MANUSIA
Ketika berucap di Forum Pelarian Global di Geneva, beliau menegaskan, kemasukan ke Rafah meningkatkan empat kali ganda daripada penduduk asal bandar itu dan menyebabkan sumber keperluan semakin mendesak di kawasan yang sudah menjadi sektor termiskin di Gaza.
“Mereka menghadapi babak paling gelap dalam sejarah mereka sejak 1948. Ia adalah sejarah yang menyakitkan.
“Ia adalah neraka yang hidup dengan Rafah kini menerima lebih sejuta orang. Kawasan itu sebelum ini hanya menempatkan 280,000 orang dan tidak mempunyai infrastruktur serta sumber untuk menyokong penduduk seramai itu.
“Setiap kali saya kembali ke Gaza, saya selalu fikir ia tidak boleh menjadi lebih teruk, tetapi setiap kali saya melihat lebih banyak kesengsaraan dan kesedihan, saya mempunyai perasaan bahawa Gaza sebenarnya bukan tempat yang boleh didiami lagi,” katanya.
Menurut beliau, bantuan di kawasan berkenaan tidak lagi dapat menampung mereka yang tidak dapat bergerak ke selatan.
“Adalah tidak realistik untuk berfikir bahawa orang akan kekal berdaya tahan dalam menghadapi keadaan yang tidak boleh didiami sebesar itu. Terutamanya apabila sempadan begitu dekat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keseluruhan tindak balas kemanusiaan bergantung kepada kapasiti UNRWA namun badan itu kini berada di ambang kehancuran.
BANTUAN TAK PERNAH CUKUP
Lazzarini turut mempersoalkan apa yang boleh tawarkan oleh hanya 100 trak bantuan untuk memenuhi keperluan 2.2 juta orang.
“Saya tidak mempunyai jawapan kepada seorang bapa lima anak di Rafah yang bertanya kepada saya bagaimana dia dan anak-anaknya boleh bertahan dengan setin kacang selama tiga hari.
“Pemandangan trak membawa bantuan kemanusiaan kini mencetuskan huru-hara. Orang ramai lapar dan mereka memberhentikan trak, meminta makanan dan terus memakannya di tepi jalan. Saya menyaksikan perkara ini secara langsung,”tambahnya.
Jelas beliau, UNRWA masih mengedarkan apa sahaja makanan yang berjaya dibawa masuk, tetapi bantuan itu selalunya sekadar sebotol air dan setin tuna setiap hari walaupun setiap keluarga selalunya berjumlah enam hingga tujuh orang.
Dalam pada itu, lebih 130 kakitangan UNRWA disahkan terbunuh sejak pencerobohan Israel di wilayah itu, dengan infrastruktur awam dan kemudahan PBB tidak terlepas daripada serangan itu.
Lazzarini turut mengulangi gesaan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi yang menggesa gencatan senjata segera dan menamatkan kepungan untuk membolehkan bantuan mencukupi disalurkan segera.
“Saya terkejut dengan imej semalam mengenai sekolah UNRWA yang diletupkan di utara Gaza.
“Mereka berasa dikhianati kerana dunia gagal bertindak dalam menghadapi salah satu malapetaka kemanusiaan yang disifatkan paling teruk zaman ini,” keluh Lazzarini.
Beliau pada masa sama menegaskan pelarian Palestin memerlukan penyelesaian yang adil, bukan hanya bantuan sambil menambah bahawa proses politik perlu dihidupkan semula dengan segera.
Sementara itu, Grandi berkata, malapetaka besar manusia sedang berlaku di Semenanjung Gaza dan setakat ini Majlis Keselamatan gagal menghentikan keganasan.
“Kami meramalkan lebih banyak kematian dan penderitaan orang awam dan juga perpindahan selanjutnya yang mengancam rantau ini.-AGENSI