SEMARANG: Kisah seorang kanak-kanak lelaki berkeperluan khas (OKU) mengayuh basikal sejauh lebih 36 kilometer demi mencari ibunya di Jawa Tengah menyentuh hati ramai warga net.
Budak lelaki berusia 10 tahun itu dilaporkan mengayuh basikal dari Gentan ke Karangpandan.
Setibanya di Karangpandan, kanak-kanak itu mula merayau kebingungan kerana sebenarnya tidak tahu pun di mana ibunya tinggal sebelum dibantu penduduk dan dibawa ke balai polis berhampiran.
Di balai polis, kanak-kanak itu ternyata mengalami kesukaran untuk berkomunikasi hingga pegawai terpaksa memintanya menulis di atas kertas.
“Selepas kami meminta maklumat identitinya dan menyuruhnya menulis di atas kertas, kami mengetahui dia masih di sekolah rendah darjah empat.
“Kemudian kami menghubungi pihak pengurusan yayasan tempat dia tinggalnya,” kata Ketua Polis Daerah Karangpandan, Budi Raharjo dipetik Kompas.com.
Menurut Budi, kanak-kanak itu tinggal di sebuah yayasan sosial di Gentan selepas ibu bapanya bercerai dan si ibu dipercayai tinggal di Tawangmangu.
“Anak itu datang ke sini seorang diri. Ibu bapanya sudah berpisah dan ayahnya seorang pemandu beca. Selepas berpisah, ibunya berkahwin lagi di Tawangmangu.
Budi berkata, pihaknya segera menghubungi yayasan tempat tinggalnya dan dia terus dijemput penjaganya pada malam yang sama pulang ke Gentan.