BAITULMUQADDIS: Akhbar The New York Times melaporkan, tentera Israel sebenarnya menyedari tentang rancangan Hamas untuk melancarkan serangan ke sempadannya lebih setahun sebelum operasi itu berlaku pada 7 Oktober lalu.
Laporan tersebut merupakan petanda terbaharu bahawa komander tertinggi Israel sama ada tidak mengendahkan atau mengenepikan amaran bahawa Hamas merancang serangan itu, yang mencetuskan peperangan kejam di Semenanjung Gaza.
Akhbar itu melaporkan, pegawai Israel memiliki rancangan pertempuran setebal 40 muka surat, bernama kod ‘Tembok Jericho’, yang memperincikan serangan Hamas ke atas masyarakat di selatan Israel.
Tidak jelas bagaimana dokumen itu diperoleh oleh Israel, tetapi artikel itu menyatakan bahawa ia diterjemahkan, sekali gus menunjukkan rancangan itu mungkin dalam bahasa Arab dan dirampas terus dari Hamas.
Tentera Israel enggan mengulas mengenai laporan itu, mengatakan misinya pada masa ini tertumpu untuk menghapuskan ancaman organisasi Hamas.
“Soalan seumpama ini akan diteliti pada peringkat seterusnya,” katanya.
Menurut laporan tersebut, dokumen itu dilihat oleh ramai pegawai tentera dan perisikan Israel walaupun tidak jelas sama ada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atau pemimpin tertinggi lain turut melihatnya.
Dokumen itu meramalkan bahawa Hamas akan mengebom Israel dengan roket, menggunakan dron untuk melumpuhkan kebolehan keselamatan dan pengawasan Israel di tembok sempadan serta mengambil alih komuniti selatan dan pangkalan tenteranya.
Satu lagi memo pertahanan Israel pada 2016 yang diperoleh akhbar itu memaklumkan, Hamas berhasrat untuk mengambil tebusan kembali ke Gaza.
Laporan itu dibuat di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap kerajaan Netanyahu kerana gagal menghalang serangan yang didahului oleh banyak tanda amaran.
Serangan itu juga didakwa dirancang secara terbuka dan sebulan sebelum serangan, Hamas dikatakan menyiarkan video di media sosial yang menunjukkan pejuang meletupkan replika pintu sempadan dan model dinding menara konkrit serta antena komunikasi di Israel.
Menambah kemarahan orang ramai atas kecuaian tentera yang jelas, media Israel melaporkan bahawa pegawai tentera menolak amaran daripada pengintip sempadan wanita yang memberi amaran bahawa mereka menyaksikan persiapan Hamas untuk serangan itu.
Menurut laporan media, wanita muda itu melaporkan melihat dron Hamas dan cubaan untuk menjatuhkan kamera sempadan Israel beberapa bulan sebelum serangan itu.
Pengkritik berkata, Netanyahu cuba melepaskan diri daripada tanggungjawab atas pelbagai kegagalan perisikan yang membawa kepada hari paling maut dalam sejarah Israel itu.-AP