RAFAH: Israel bertindak memulangkan 80 jenazah rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza selepas mengambilnya dari bilik mayat dan kubur untuk memastikan tiada tebusan dalam kalangan mereka.
Menurut sumber kementerian kesihatan Gaza, jenazah itu dikembalikan melalui Jawatankuasa Palang Merah (ICRC) kepada pihak berkuasa Hamas bagi menguburkan kesemua jenazah dalam kubur besar di Gaza.
Seorang jurugambar dilaporkan melihat seorang penggali sedang menurunkan beg mayat berwarna biru ke dalam parit besar di Rafah, jauh di selatan wilayah terkepung itu.
Selepas pemeriksaan dilakukan, mayat-mayat itu kemudian dikembalikan kepada ICR melalui persimpangan Kerem Shalom antara Israel dan Semenanjung Gaza.
Semua mayat kemudian diangkut dengan trak ke kubur besar kata sumber.
Tentera Israel tidak segera mengulas mengenai perkara itu.
Perang Gaza paling berdarah meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu, didakwa mengorbankan kira 1,140 orang, kebanyakannya penduduk awam
Hamas dipercayai mengambil 250 tebusan, yang mana 129 daripadanya masih berada di Gaza.
Israel melancarkan pengeboman udara yang meluas dan pengepungan, diikuti pencerobohan darat.
Menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, kempen itu membunuh 20,674 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – AFP