GAZA: Israel dilaporkan memasang sistem pam air besar yang mungkin digunakan untuk membanjiri terowong Hamas di Semenanjung Gaza dengan air laut, lapor Wall Street Journal (WSJ), memetik sumber pegawai Amerika Syarikat (AS).
Pada pertengahan bulan lalu, tentera Israel menyiapkan sekurang-kurangnya lima pam yang terletak di kita-kira utara kem pelarian Al-Shati.
Difahamkan, ia boleh menyalurkan ribuan meter padu air sejam dan membanjiri keseluruhan rangkaian terowong dalam beberapa minggu, menurut kata laporan itu.
Tidak jelas sama ada Israel akan mempertimbangkan untuk menggunakan pam itu sebelum semua tebusan dibebaskan, menurut laporan berkenaan. Hamas sebelum ini berkata ia menyembunyikan tebusan di ‘tempat selamat dan terowong’.
Reuters tidak dapat mengesahkan butiran laporan itu.
Ketika ditanya mengenai dakwaan itu, seorang pegawai AS berkata, munasabah bagi Israel untuk mensabotaj terowong itu dan tentera sedang meneroka pelbagai cara untuk melakukannya.
Kementerian pertahanan Israel tidak segera menjawab permintaan untuk komen.
Lapor WSJ, seorang pegawai Pasukan Pertahanan Israel (IDF) enggan mengulas mengenai rancangan banjir itu.
Katanya, IDF sedang beroperasi untuk merungkai keupayaan keganasan Hamas dalam pelbagai cara, menggunakan alat ketenteraan dan teknologi yang berbeza.
Israel mula memaklumkan pilihan itu kepada AS pada bulan lalu, kata WSJ, namun melaporkan pegawai tidak mengetahui bila kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mahu melaksanakan rancangan itu.
Israel belum membuat keputusan muktamad untuk meneruskan atau menolak cadangan itu, menurut pegawai berkenaan.