NEW YORK: Satu laporan berita mendedahkan dron ringkas dan murah yang digunakan oleh pergerakan Hamas menimbulkan cabaran besar kepada teknologi canggih Israel.
Malah, senjata digunakan oleh kumpulan pejuang Palestin itu turut menimbulkan ancaman kepada beberapa kuasa teknologi paling canggih di dunia.
“Sudah tentu, ia bukan tembakan roket dari Gaza yang menggegarkan tentera di sempadan selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
“Ia adalah bunyi letupan luar biasa yang tidak pernah kedengaran sebelum ini,” jelas laporan Bloomberg.
Menurut laman sesawang berita berpangkalan di New York,`dron boleh didapati secara dalam talian pada harga serendah AS$6,500 (RM30,270)’.
Jelas laporan, sejumlah dron berkenaan didapati memenuhi ruang udara di atas pagar sempadan Israel yang bernilai AS$1 bilion (RM4.65 bilion).
“Ia ditugaskan untuk membawa bahan letupan selain memusnahkan kamera, sistem komunikasi dan senjata kawalan jauh.
“Lebih-lebih lagi, sistem Kubah Besi Israel dinaik taraf untuk mengesan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) besar namun banyak dron Hamas masih dapat menyelinap masuk,” jelas laporan.
Oleh itu, sistem pengawasan berteknologi tinggi Israel gagal menghalang operasi kumpulan pejuang Hamas.
Setakat ini, tentera Israel enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
“Soalan seumpama ini akan diteliti pada peringkat seterusnya,” kata jurucakap tentera Israel.
* DRON HAMAS JADI ANCAMAN
Dalam pada itu, felo penyelidik di Institut Kajian Keselamatan Negara, Liran Antebi berpandangan sistem dron Hamas masih menjadi ancaman.
“Ia memberi anda keupayaan untuk menggunakan peluru berpandu tepat atau mengikut garis panduan yang mana beberapa tahun lalu hanya negara sangat maju boleh lakukannya,” katanya.
Dilaporkan, warga Tunisia, Mohammed al-Zouari merupakan jurutera yang menyumbang kepada pembangunan dron kumpulan pejuang itu.
Mohammed dibunuh pada tahun 2016 dan kumpulan individu bersenjata yang membunuh jurutera itu tidak pernah ditangkap.
Pembunuhannya dikaitkan secara meluas dengan perkhidmatan pengintip Israel, Mossad.
Berdasarkan laporan Bloomberg, `Israel mempunyai sekurang-kurangnya satu sistem di sempadan Gaza yang direka khas untuk menangkis serangan dron, namun ia masih belum beroperasi lagi.’
“Fasa akhir ujian sepatutnya diadakan beberapa hari selepas serangan mengejut.
“Namun, kami cuti seminggu. Ia mungkin boleh menjadi `game changer’,” kata Naib Presiden firma Sentrycs, Rotem Epelbaum.
Dilaporkan, syarikat Sentrycs membangunkan sistem di sempadan Gaza.
* TENTERA ISRAEL BUNUH TEBUSAN
Sementara itu, seorang wanita Israel yang baru dibebaskan dari Gaza memaklumkan ibunya dibunuh oleh tentera rejim zionis.
Katanya, ibunya maut terkena tembakan tentera Israel ketika mereka diculik oleh kumpulan Briged al-Qassam untuk dibawa ke Gaza pada 7 Oktober lalu.
“Pejuang Briged al-Qassam meletakkan tebusan di dalam trak dan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu.
“Ibu saya yang terkena tembakan meninggal dunia manakala saya mengalami kecederaan di belakang dan abang saya pula cedera di kaki,” kata wanita itu dalam wawancara disiarkan di Saluran 12 Israel.
Saluran itu mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan untuk menghentikan trak yang sedang menuju ke Semenanjung Gaza. – AGENSI