GAZA: Penduduk Gaza terpaksa mencari perlindungan di hospital yang dibom ketika Israel berikrar untuk memberi tekanan lebih keras dalam peperangannya dengan Palestin, sehari selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat tawaran gencatan senjata di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Seorang wartawan berkata, ribuan penduduk Gaza berlindung di hospital Al-Shifa di Gaza City yang tidak lagi berfungsi dan sebahagiannya musnah berikutan serbuan Israel bulan lalu.
Beratus-ratus khemah sementara yang diperbuat daripada sisa fabrik dan plastik memenuhi kawasan di tengah-tengah dinding yang runtuh.
Suheil Abu Dalfa, 56, dari daerah Shejaiya berkata, dia melarikan diri dari pengeboman oleh pesawat dan kereta kebal Israel.
“Ia adalah kegilaan. Sebutir peluru mengenai rumah dan mencederakan anak lelaki saya yang berusia 20 tahun.
“Kami melarikan diri ke Kota Lama, semuanya hanya serangan dan kemusnahan, kami tidak tahu ke mana hendak pergi dan tidak tahu sama ada mereka akan menyerbu hospital lagi,” katanya.
Kumpulan bantuan berkata, Gaza menghadapi situasi kemanusiaan apokaliptik dan hampir ditimpa penyakit dan kebuluran.
Jumaat lalu, Washington memveto resolusi PBB yang menggesa gencatan senjata iaitu satu tindakan yang dikecam sekeras-kerasnya oleh kumpulan Palestin dan kemanusiaan.
Tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau menghargai pendirian AS dan berikrar meneruskan perang untuk menghapuskan Hamas.
Iran yang menyokong Hamas, memberi amaran ia boleh membawa kepada letupan yang tidak terkawal di rantau itu, manakala Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam badan PBB itu sebagai ‘majlis perlindungan Israel’.
Israel berkata, seramai 137 tawanan kekal di wilayah Palestin.
Akibat serangan berterusan, pihak berkuasa kesihatan Hamas berkata, 71 maut sebaik tiba di hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah selama 24 jam dan 62 di hospital Nasser di bandar selatan Khan Yunis.
Penasihat Keselamatan Negara, Tzachi Hanegbi memberitahu TV Israel, seramai 7,000 pejuang Hamas dibunuh, tanpa menjelaskan sumber angka itu.
Di Tel Aviv, beratus-ratus orang berkumpul di tempat yang dikenali sebagai Dataran Tebusan, menggesa tindakan untuk menyelamatkan tawanan yang ditahan oleh Hamas dengan papan tanda yang mengandungi mesej.
Tentera Israel berkata, ia kehilangan 93 askar dalam serangan itu dengan dua lagi cedera dalam usaha menyelamatkan tebusan pada malam Khamis. – AFP