GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kem pelarian di Gaza pada lewat malam tadi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan itu memusnahkan beberapa unit rumah di kem Al-Maghazi yang terletak di tengah wilayah Palestin.
Setakat ini, AFP tidak dapat mengesahkan bilangan tersebut.
Jurucakap kementerian, Ashraf al-Qudra berkata, bilangan penduduk yang terbunuh dalam serangan ke atas kem Al-Maghazi sudah meningkat kepada 70 penduduk setakat ini.
Terdahulu, Ashraf berkata, serangan itu memusnahkan sebuah bangunan kediaman.
Katanya, pihaknya juga menjangkakan jumlah kematian akibat serangan itu berkemungkinan meningkat memandangkan banyak keluarga menetap di bangunan kediaman itu.
Dalam kejadian berasingan, kementerian mengesahkan 10 orang sekeluarga terbunuh dalam serangan Israel ke atas rumah mereka di kem Jabalia, utara Gaza.
Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan jumlah kematian sebenar.
Sementara itu, tentera Israel berkata, pihaknya sedang menyemak laporan berkenaan. – AFP