Israel arah pemindahan di Khan Yunis

Israel arah pemindahan di Khan Yunis

PENDUDUK Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman di Khan Yunis berlindung di khemah pertanian Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mengarahkan lebih banyak pemindahan di kawasan sekitar bandar utama di selatan Gaza ketika perang di wilayah itu meragut lebih 20,000 nyawa.

Pejabat Pertubuhan Bnagsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, Israel mengeluarkan peta menunjukkan kawasan baharu meliputi 20 peratus bandar Khan Yunis yang ditanda untuk pemindahan.

Menurut OCHA,  sebelum pertempuran meletus kawasan itu menempatkan kediaman yang diduduki lebih 110,000 orang.

Katanya, kawasan itu termasuk 32 pusat perlindungan menempatkan lebih 140,000 pelarian yang sebahagian besarnya dipindahkan dari utara wilayah berkenaan.

Tentera Israel semalam mendakwa melancarkan operasi darat, udara dan laut ke atas berpuluh-puluh  infrastruktur kumpulan pejuang Hamas di pusat pemerintahan dan kawalan tentera di Khan Yunis.

Sementara itu, Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memberi amaran ketiadaan sumber air minuman yang selamat di Gaza boleh mengancam nyawa dan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak berisiko dijangkiti penyakit.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell berkata, kekurangan akses kepada air bersih kini umpama hidup dan mati buat kanak-kanak di Gaza yang hampir tidak mempunyai air untuk diminum.

“Kanak-kanak dan keluarga mereka terpaksa menggunakan air daripada sumber tidak selamat yang mempunyai kandungan garam tinggi atau tercemar.

“Tanpa air yang selamat, ramai lagi kanak-kanak akan mati akibat penyakit dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Menurut UNICEF, kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal di selatan Rafah hanya mempunyai sekitar 1.5 hingga dua liter air setiap hari dan jumlah itu juga semakin berkurangan.

“Setakat ini, pihak berkuasa merekodkan hampir 20 kali ganda purata bulanan kes cirit-birit yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, selain peningkatan kes kudis, kutu, cacar air, ruam kulit dan lebih 160,000 kes jangkitan pernafasan akut,” lapor UNICEF.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN