TEL AVIV: Platform media sosial dihebohkan dengan video menunjukkan sistem pertahanan Israel yang disifatkan paling canggih, Iron Dome mengalami kerosakan.
Video itu menjelaskan sistem pertahanan udara Zionis itu rosak sehingga tidak mampu menangkis serangan, malah menjejaskan wilayah Israel sendiri.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi respon berhubung penularan video tersebut.
Lapor Times of Israel, IDF memaklumkan mereka kini sedang menyiasat insiden tersebut.
Tentera Zionis seolah-olah mengakui Iron Dome mengalami kerosakan dan tidak mampu menangkis roket yang dilancarkan dari Gaza sehingga satu daripadanya mengenai wilayah Israel, namun enggan mengesahkan perkara tersebut.
“Kami akan lakukan siasatan terperinci mengenai sistem Iron Dome.
“Mungkin mengalami kerosakan teknikal,” kata IDF dalam kenyataan.
Selain itu, IDF juga memaklumkan tiada sebarang mangsa cedera atau maut dalam insiden roket yang jatuh di wilayahnya.
Pihak berkuasa Israel sebelum ini memaklumkan mereka melancarkan peluru berpandu Tamir ke Gaza sebagai tindak balas serangan roket oleh Hamas pada pukul 10 malam waktu tempatan semalam.
Namun, sistem Iron Dome dilaporkan gagal berfungsi dan roket dari Gaza jatuh di wilayah Israel.
Ini bukan kali pertama sistem tersebut gagal berfungsi.