TEHERAN: Pihak berkuasa Iran menuduh seorang diplomat Kesatuan Eropah (EU) Sweden yang ditahan di penjara Teheran selama lebih 600 hari, bersubahat dengan musuh ketatnya, Israel.
“Johan Floderus dituduh melakukan tindakan meluas terhadap keselamatan negara, kerjasama perisikan yang meluas dengan rejim Zionis dan rasuah,” lapor agensi berita kehakiman Mizan Online.
Rasuah adalah satu daripada kesalahan paling serius di Iran yang membawa hukuman mati maksimum.
Floderus, 33, ditahan pada 17 April 2022, di lapangan terbang Teheran ketika kembali ke Iran dari perjalanan bersama rakan-rakannya.
Warga Sweden yang bekerja untuk perkhidmatan diplomatik EU itu ditahan di penjara Evin di Teheran.
Penahanannya dibuat ketika seorang warga Iran, Hamid Noury, dibicarakan di Sweden atas hukuman mati besar-besaran terhadap penentang di Teheran pada 1988 namun kemudian menerima hukuman penjara seumur hidup pada Julai 2022.
Mizan menerbitkan gambar Floderus yang digari di Penjara Evin Tehran, menghadap hakim dengan pakaian seragam penjara ketika pertuduhan dibacakan.
Pihak pendakwaan mendakwa Floderus mengumpul maklumat mengenai program nuklear dan pengayaan Iran, menjalankan projek subversif untuk kepentingan Israel dan menubuhkan rangkaian ejen perkhidmatan perisikan Sweden.
Dia turut didakwa terlibat dalam kerjasama perisikan dan komunikasi dengan EU dan kumpulan pembangkang yang dibuang negeri, Mujahedin Rakyat (MEK).
Tarikh perbicaraan seterusnya belum diketahui namun Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell memohon pembebasan segera Floderus yang disifatkan ditahan tanpa alasan kukuh.
Hubungan Teheran dan Stockholm semakin tegang berikutan hukuman mati terhadap penentang Iran-Sweden, Habib Chaab yang disabitkan dengan rasuah selepas dilaporkan hilang semasa lawatan ke Turkiye pada 2020.-AFP