NEW DELH: India melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna.
Kerajaan memutuskan untuk memindahkan eksport bawang daripada kategori bebas kepada larangan sehingga 31 Mac, menurut Direktorat Perdagangan Luar Negeri.
Kenaikan harga makanan di negara paling ramai penduduk dunia itu boleh menjadi isu yang mencetuskan pergolakan politik, terutama menjelang pilihan raya parlimen tahun depan.
Kekurangan bawang yang menjadi bahan utama dalam masakan India selain harganya yang tinggi berpotensi mencetuskan kekecohan dalam politik India.
Harga runcit bawang telah meningkat kepada kira-kira 80 rupee (AS$1 = 83.3 rupee India) di New Delhi, hampir dua kali ganda daripada harga pada Oktober.
Kerajaan menetapkan harga lantai untuk eksport pada AS$ 800 setan pada Oktober hingga akhir 2023.
Bagaimanapun, dengan larangan eksport, kerajaan berharap dapat memastikan harga domestik kekal mampu milik kepada pengguna biasa.
Langkah itu bertujuan untuk membendung inflasi makanan.
Kementerian Hal Ehwal Pengguna pada Jumaat juga mengurangkan separuh had stok gandum yang boleh disimpan oleh pemborong dan peruncit.
“Langkah itu diambil untuk mengurus keterjaminan makanan secara menyeluruh selain bagi mencegah lambakan dan spekulasi tidak bertanggungjawab,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
India, pengeluar gula terbesar dunia pada Khamis turut mengarahkan kilang gula dan kilang penyulingan supaya tidak menggunakan jus tebu atau sirap gula untuk pengeluaran etanol.
Awal tahun ini, India menghentikan eksport beras putih bukan basmati berikutan kekurangan bekalan domestik, mencetuskan kebimbangan dalam pasaran makanan global.
Kerajaan bagaimanapun telah melonggarkan sekatan atas alasan keterjaminan makanan dengan membenarkan beberapa tawaran eksport ke beberapa negara secara dua hala.
Dengan pilihan raya 2024 yang semakin hampir, kerajaan dijangka menjadi lebih peka terhadap situasi bekalan bahan makanan utama dan ramuan.