NEW DELHI: Seorang wanita warga emas didakwa dibelasah dan diikat pada tiang elektrik oleh anak lelakinya hanya kerana memetik sayur kubis bunga dari tanah ladangnya di India.
Lapor portal India Today, insiden itu berlaku di daerah Keonjhar, Odisha.
Pertikaian tercetus selepas wanita berusia 70 tahun itu memakan sayur yang dipetik dari kebun anak bongsunya di kampung Sarasapasi.
“Ketika pertengkaran antara kedua-dua pihak semakin buruk, lelaki itu mengikat ibunya pada tiang elektrik dan bertindak memukulnya.
“Penduduk kampung cuba campur tangan untuk menghentikannya namun mereka diugut oleh lelaki berkenaan,” jelas laporan.
Warga emas itu akhirnya diselamatkan oleh penduduk kampung dan dihantar ke Pusat Kesihatan Komuniti Basudevpur untuk mendapatkan rawatan.
Penduduk kampung kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
“Polis kemudian menyoal warga emas itu mengenai kejadian yang menimpanya.
“Kes difailkan terhadap anaknya di bawah seksyen undang-undang berkaitan,” jelas laporan.