OSLO: Gunung berapi Fagradalsfjall yang terletak di barat daya Iceland dilaporkan meletus dengan memuntahkan lahar dan asap ke udara.
Menurut Pejabat Meteorologi Iceland, letusan itu berlaku selepas negara itu dilanda aktiviti gempa bumi yang kuat selama beberapa minggu lalu.
Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini di semenanjung Reykjanes, pihak berkuasa memindahkan hampir 4,000 penduduk bandar nelayan Grindavik dan menutup spa geoterma Blue Lagoon yang berhampiran pada bulan lalu.
“Amaran: Letusan bermula di utara Grindavik oleh Hagafell,” jelas pejabat meteorologi di laman sesawangnya.
Beberapa gambar dan rakaman siaran langsung disiarkan Reuters menunjukkan gunung berapi memuntahkan lahar yang kelihatan seperti air pancut dari rekahan di dalam tanah, selain lahar berwarna oren terang dapat dilihat pada waktu malam.
Dalam pada itu, polis Iceland memaklumkan pihaknya sudah meningkatkan tahap amaran disebabkan letusan gunung berapi itu.
Malah, pertahanan awam negara juga memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghampiri kawasan itu ketika anggota kecemasan menilai situasi tersebut.
Menurut pejabat meteorologi, sebuah helikopter pengawal pantai akan terbang berhampiran gunung berapi itu bagi menentukan lokasi dan saiz letusan yang tepat.
Lapangan terbang antarabangsa Reykjavik yang terletak berhampiran, dilaporkan kekal beroperasi.
“Pada masa ini, tiada gangguan ke atas ketibaan atau pelepasan di Lapangan Terbang Keflavík,” jelasnya di laman sesawang. – REUTERS