MADRID: Iklan koleksi produk terbaharu dilancarkan jenama fesyen terkenal dunia, Zara mencetuskan kontroversi dan mengundang kemarahan ramai susulan didakwa mempersendakan konflik di Gaza.
Malah, rata-rata pengguna media sosial turut menggesa orang ramai memboikot syarikat berasal dari Sepanyol itu.
Warganet menganggap gambar koleksi produk diberi nama ‘The Jacket’ yang dikongsikan syarikat itu menggambarkan konflik Israel-Hamas yang sudah meragut hampir 18,000 nyawa.
Berdasarkan laporan Sportskeeda, iklan terbaharu Zara menampilkan model Kristen McMenamy menggayakan koleksi pakaian syarikat itu dengan mengusung patung mannequin berbalut kain putih pada bahunya.
Manakala pada gambar seterusnya, model itu dilihat sedang berdiri di dalam sebuah kotak kayu.
Beberapa komen warganet mendakwa terdapat persamaan dalam tema gambar produk yang digunakan oleh syarikat fesyen itu dengan imej mayat di Palestin.
“Warganet juga membandingkan gaya model itu dalam kotak kayu dengan gambar keranda yang tular dalam internet berkaitan mangsa perang Israel-Hamas,” jelas laporan.
Sebuah lagi gambar dikongsikan Zara menunjukkan model itu bergambar di tengah-tengah runtuhan seolah-olah memberi gambaran konsep itu diinspirasikan daripada kemusnahan berlaku di Gaza.
Iklan koleksi terbaharu Zara juga memaparkan beberapa papan lapis disusun dalam bentuk peta yang seolah-olah menggambarkan Palestin.
Di akaun instagram Zara, ruang komen syarikat berkenaan dibanjiri dengan kritikan dan gesaan boikot.
“Jenama fesyen itu dilihat mengejek kematian rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel,” jelas portal Albawaba.
Selepas menerima kecaman hebat, Zara memadamkan gambar berkenaan namun tangkap layar gambar koleksi dimuat naik masih tersebar luas dalam media sosial.