Golongan wanita paling terseksa di Gaza

Golongan wanita paling terseksa di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Wanita hamil dan ibu menyusu kini menjadi golongan yang paling menderita sejak krisis kemanusiaan mencengkam Gaza akibat perang berterusan Israel-Hamas.

Menurut pertubuhan ActionAid Palestine, berpuluh-puluh ribu wanita hamil kini mengalami risiko  kebuluran.

PALING MENDERITA

Golongan ibu yang baru melahirkan anak pula dilaporkan terpaksa berlapar setiap hari berikutan krisis makanan di Semenanjung Gaza hingga menyebabkan mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Keadaan itu menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menyusukan bayi mereka.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch sebelum ini menyatakan bahawa Israel menjadikan krisis kelaparan penduduk Gaza sebagai senjata perangnya dengan Hamas.

Kesan daripada peperangan itu memberi impak besar kepada wanita hamil, golongan ibu dan kanak-kanak.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 50,000 wanita hamil dan 68,000 ibu menyusukan anak di Gaza amat memerlukan intervensi pemakanan segera bagi menyelamatkan nyawa ketika ini.

Lebih 7,685 kanak-kanak berusia bawah lima tahun turut mengalami keadaan mengancam nyawa yang menyebabkan mereka terdedah kepada masalah perkembangan terbantut, penyakit dan risiko kematian.

Daripada jumlah itu, lebih 4,000 lagi kanak-kanak menghadapi masalah kekurangan berat badan dan memerlukan rawatan bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Secara purata, terdapat hanya 1.5 liter air untuk setiap seorang di Gaza bagi menampung kegunaan harian mereka termasuk air minuman, mandi dan membersihkan diri.

Wanita hamil dan ibu menyusu pula memerlukan pertambahan 7.5 liter air bersih bagi memastikan diri dan bayi mereka berada dalam keadaan sihat.

BENCANA KESIHATAN

Khitam, ibu kepada lima anak termasuk bayi baru lahir yang kini berteduh di sebuah sekolah di Deir Al Balah mengadu semakin buntu mencari air bersih dan makanan untuk anak-anaknya.

“Tiada air dan tiada makanan untuk dimakan. Anak perempuan saya mengalami ruam pada kulit kerana kurang kebersihan di sini. Keadaan kami sangat sukar,” katanya.

Khitam berkata, dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat pengeboman hanya dua hari selepas bersalin.

“Saya baru saja keluar dari hospital apabila arahan untuk mengosongkan rumah dikeluarkan. Saya terpaksa berlari meninggalkan kediaman sambil mengendong anak kecil kami walaupun masih dalam kesakitan.

“Kami berjalan di bawah peluru berpandu dan tembakan, duduk seketika untuk berehat di atas turapan dan kembali berjalan semula sehingga tiba di sekolah ini,” katanya.

Penyelaras Advokasi dan Komunikasi di ActionAid Palestine, Riham Jafari berkata, tiada lagi ucapan yang dapat menggambarkan betapa buruknya situasi yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza.

“Seluruh penduduk kelaparan tetapi wanita hamil dan ibu yang menyusu bayi serta anak-anak mereka adalah yang paling menderita. Kisah-kisah yang kita dengar amat menyentuh perasaan.

“Seorang ibu yang kekurangan makanan dan air sehingga tidak dapat menyusukan anak memberitahu kami mengenai rasa bimbangnya terhadap bayinya yang menghidap demam kuning akibat kekurangan zat makanan.

“Hanya gencatan senjata serta-merta dan kekal dapat mengakhiri malapetaka ini,” katanya.

Pejabat kemanusiaan PBB berkata, Gaza kini menghadapi bencana kesihatan awam akibat keruntuhan sistem kesihatan dan penyebaran penyakit berikutan serangan berterusan Israel di hospital dan kem pelarian.

WHO melaporkan peningkatan mendadak jangkitan pernafasan akut, cirit-birit, kutu, kudis dan penyakit lain yang merebak dengan cepat.

Menurut badan itu, hanya 11 daripada 36 hospital di Gaza berfungsi dengan satu di utara dan 10 lagi di selatan wilayah berkenaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya