BEIJING: Kira-kira 12 penduduk dilaporkan masih hilang selepas gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda wilayah Gansu, China pada Isnin lalu.
Rata-rata warganet mempersoalkan usaha menyelamat yang ditamatkan lebih awal.
Media China melaporkan operasi mencari dan menyelamat di Gansu berakhir pada pukul 3 petang (waktu tempatan) Selasa lalu, kira-kira 15 jam selepas bencana itu melanda kawasan terpencil dan pergunungan berhampiran sempadan yang melintasi wilayah Gansu dan Qinghai.
Bagaimanapun, setakat ini, tidak diketahui sama ada operasi pencarian masih diteruskan di Qinghai.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 115 ditemukan maut, manakala 784 lagi cedera di Gansu.
Bagaimanapun, belum ada kes individu hilang di Gansu susulan kejadian itu.
Di Qinghai pula, angka kematian meningkat kepada 22 orang dengan 198 cedera, manakala 12 dilaporkan hilang.
Lebih 207,000 rumah musnah dan hampir 15,000 lagi runtuh di Gansu sehingga menyebabkan lebih 145,000 penduduk terjejas.
Perbincangan dalam talian menunjukkan warganet ingin tahu mengenai operasi mencari dan menyelamat yang ditamatkan kurang dari sehari.
Malah, ramai percaya suhu terlalu sejuk menjadi faktor utama memaksa tempoh operasi menyelamat ditamatkan lebih awal.
Kebiasaannya operasi menyelamat akan ditamatkan kira-kira 72 jam selepas bencana. – REUTERS