MANILA: Filipina dan Amerika Syarikat (AS) secara berasingan mengutuk sekeras-kerasnya `serangan agresif’ yang dilakukan oleh pengawal pantai China bersama kapal dipercayai militia di Laut China Selatan.
Kapal berkenaan dilaporkan berulang kali melepaskan tembakan meriam air untuk menghalang tiga kapal nelayan Filipina dari sebuah beting yang dipertikaikan di perairan tersebut.
Menurut pegawai Filipina, serangan dilakukan oleh kapal China di luar Scarborough Shoal itu menyebabkan kerosakan ketara pada peralatan komunikasi dan navigasi salah sebuah kapal milik Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (BFAR).
Jelas pegawai, kapal militia yang mengiringi kapal pengawal pantai China dikatakan menggunakan peranti akustik jarak jauh yang boleh menjejaskan pendengaran, selain menyebabkan ketidakselesaan dan hilang upaya sementara kepada beberapa kru Filipina.
Ia merupakan ketegangan terbaharu membabitkan pertikaian wilayah yang berlarutan lama di Laut China Selatan.
Pasukan petugas kerajaan Filipina yang menangani isu pertikaian wilayah itu, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan haram dan agresif dilakukan oleh kapal pengawal pantai dan militia maritim China terhadap kapal nelayan kerajaan dikendalikan orang awam.
“Kami menuntut kerajaan China mengambil tindakan segera untuk menghentikan tindakan agresif ini dan menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa.
“Mereka perlu berhenti melakukan tindakan yang mencabul kedaulatan Filipina serta membahayakan nyawa dan mata pencarian nelayan kami,” jelas pasukan petugas itu.
Sementara itu, Duta Besar AS ke Manila, MaryKay Carlson mengecam, tindakan China yang agresif dan haram.
“Tingkah laku (China) ini melanggar undang-undang antarabangsa dan membahayakan nyawa golongan nelayan.
“Kami berdiri bersama rakan Filipina, rakan kongsi dan sekutu kami dalam menyokong perairan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” katanya.
Terdahulu, pengawal pantai China menerusi laman sesawang memaklumkan pihaknya melaksanakan langkah kawalan selaras dengan undang-undang terhadap tiga kapal BFAR yang menceroboh perairan bersebelahan Pulau Huangyan.
Malah, pengawal pantai China dalam kenyataan berasingan menyatakan pihaknya juga melaksanakan kawalan mengikut undang-undang dan peraturan terhadap dua kapal pengawal pantai Filipina termasuk kapal bekalan yang cuba membawa muatan bahan binaan ke Second Thomas Shoal. – AP