BERLIN: Tujuh orang, termasuk empat disyaki anggota Hamas, ditahan di Denmark, Jerman dan Belanda kerana didakwa merancang melakukan serangan terhadap penduduk serta institusi Yahudi di Eropah, menurut pihak berkuasa di tiga negara itu.
Penangkapan dibuat ketika Israel meneruskan operasinya untuk memusnahkan Hamas di Semenanjung Gaza, perang yang dicetuskan oleh serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.
Menurut pendakwa raya Jerman dalam satu kenyataan, tiga daripada suspek ditahan di Berlin dan seorang lagi ditahan di Belanda, yang disyaki mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan cawangan tentera Hamas.
Selain itu, tiga lagi yang ditahan di Denmark akan didakwa di bawah klausa keganasan dalam Kanun Jenayah dan dihadapkan ke mahkamah untuk soal siasat awal.
Bagaimanapun, seorang pegawai Hamas menafikan mereka yang ditahan itu ada kaitan dengan kumpulan berkenaan.
Malah, tidak jelas sama ada terdapat kaitan antara penahanan di Denmark dengan penahanan di Jerman dan Belanda.
Mereka yang ditahan ialah warga Belanda, Nazih R, ditahan polis di Rotterdam, manakala Abdelhamid Al A dan Ibrahim El-R kelahiran Lubnan, serta warga Mesir Mohamed B, ditahan di Berlin.
Menurut pendakwa raya Jerman, Abdelhamid Al A didakwa ditugaskan oleh pemimpin Hamas di Lubnan untuk mencari sumber senjata, dibawa ke Berlin dan bersedia untuk kemungkinan serangan pengganas terhadap institusi Yahudi.
Menurut Menteri Kehakiman Jerman, Marco Buschmann, berikutan serangan dahsyat oleh Hamas ke atas penduduk Israel, serangan terhadap penduduk Yahudi dan institusi Yahudi juga meningkat di negara ini sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, Pegawai Hamas, Sami Abu Zuhri, menafikan ada anggota Hamas ditahan di Denmark, Jerman, atau mana-mana negara Eropah lain, serta mendakwa ia bertujuan menjejaskan perhimpunan besar-besaran menyokong Palestin di Eropah.