ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) selepas Amerika Syarikat (AS) memveto resolusi gencatan senjata untuk Gaza, menyifatkan badan antarabangsa itu sebagai ‘majlis perlindungan Israel.’
AS pada hari Jumaat lalu memveto resolusi UNSC yang menggesa gencatan senjata segera bagi meredakan pertempuran sengit antara Israel dan Hamas di Gaza.
Washington bertindak mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk menghentikan pertempuran yang diketuai oleh Ketua PBB, Antonio Guterres dan negara-negara Arab.
“Sejak 7 Oktober lalu, UNSC telah menjadi majlis perlindungan dan pertahanan Israel.
“Adakah ini keadilan? Dunia lebih besar daripada lima. Dunia lain mungkin, tetapi tanpa AS,” tegas Erdogan merujuk kepada lima negara yang menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB.
Beliau turut menzahirkan kekecewaannya dengan tindakan AS menyokong Israel dengan wang dan peralatan ketenteraannya.
“Hei, AS! Berapa banyak yang anda akan bayar untuk itu?
“Setiap hari Deklarasi Hak Asasi Manusia dicabuli di Gaza,” tegasnya ketika dunia meraikan ulang tahun ke-75 deklarasi itu.
Resolusi PBB untuk gencatan senjata dikemukakan lebih dua bulan selepas bermulanya perang di Gaza yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas tanah Israel pada 7 Oktober lalu yang didakwa membunuh 1,200 orang.
Namun serangan balas Israel terhadap Hamas menyebabkan lebih 17,700 orang terkorban kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.-AFP