KUWAIT CITY: Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah meninggal dunia hari ini selepas tiga tahun memerintah negara, menurut mahkamah diraja.
Sheikh Nawaf meninggal dunia pada usia 86 tahun.
“Dengan rasa sedih dan dukacitanya, kami berkabung atas berita kematian Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah,” jelas kenyataan yang disiarkan di televisyen negara.
Menurut agensi berita rasmi KUNA, Sheikh Nawaf dimasukkan ke sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) `disebabkan masalah kesihatan kecemasan’.
Bagaimanapun, agensi berita itu tidak menjelaskan butiran masalah kesihatan tersebut.
Agensi berita itu kemudian melaporkan Sheikh Nawaf berada dalam keadaan stabil.
Pada 7 Februari 2006, Sheikh Nawaf ditabalkan sebagai putera mahkota.
Sheikh Nawaf dinamakan sebagai Emir Kuwait pada September 2020 menggantikan abang tirinya, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah yang meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Sheikh Nawaf memimpin negara melalui krisis ekonomi yang disebabkan kejatuhan harga minyak pada tahun 2020.
Sheikh Nawaf dilahirkan pada 25 Jun 1937 dan pernah berkhidmat sebagai menteri dalam negeri dari tahun 1978 hingga 1988 dan kemudian dilantik sebagai menteri pertahanan. – AFP/AGENSI