NEW YORK CITY: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan kebimbangan mengenai jumlah kanak-kanak yang terkorban di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu mungkin sebenarnya lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, beliau tidak pernah melihat begitu banyak kematian kanak-kanak sejak memegang jawatan tersebut dalam PBB.
“Penduduk Gaza berada di ambang bencana kemanusiaan dan kita tidak harus berpaling dan membuat seolah-olah tidak tahu mengenainya. Bantu mereka kumpul semula semangat yang hilang.
“PBB sentiasa menyokong gencatan kemanusiaan dan jeda kemanusiaan yang sebenar, iaitu yang kekal dan selamat,’ katanya.
Jelas Guterres, apa yang berlaku di Gaza, termasuk kemusnahannya amat jelas dan dunia tidak seharusnya tidak mengendahkannya.
Katanya, adalah penting untuk semua komuniti di seluruh dunia membantu Palestin bebas dan perkara itu boleh dicapai menerusi penyelesaian dua negara.
Guterres berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bersama negara-negara anggota.
Dalam pada itu, Menteri Luar China, Wang Yi yang mempengerusikan Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin anjuran PBB menegaskan gencatan senjata secara komprehensif perlu dilakukan segera dan mendesakanya sebagai keutamaan.
“Apa yang berlaku antara Palestin dan Israel selama beberapa dekad menunjukkan kaedah ketenteraan bukanlah penyelesaian yang terbaik.
“China juga berharap operasi ketenteraan Israel di Gaza yang dihentikan sementara akan kekal dihentikan.
“Kami berharap tiada episod keganasan baharu berulang lagi, menyebabkan ribuan penduduk awam terbunuh,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan berkata, kekurangan mekanisme antarabangsa untuk memastikan pihak bertanggungjawab dalam perang menjadikan konflik di Palestin sukar diselesaikan.
Katanya, sudah jelas Israel menceroboh hak asasi kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, namun masih tiada tindakan diambil terhadap wilayah haram tersebut.