Dua rakyat Korea Selatan diculik di Nigeria, akhirnya dibebaskan

Dua rakyat Korea Selatan diculik di Nigeria, akhirnya dibebaskan 

KEDUA-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat binaan terbesar milik Korea Selatan di Nigeria. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Dua warga Korea Selatan akhirnya dibebaskan selepas diculik hampir tiga minggu lalu oleh kumpulan bersenjata tidak dikenali di Nigeria.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Luar di Seoul dalam satu kenyataan.

Lapor agensi berita Yonhap, kedua-dua individu itu yang bekerja di sebuah syarikat binaan terbesar milik Korea Selatan, diculik di selatan Nigeria pada 12 Disember lalu.

Pihak berkuasa Korea Selatan memaklumkan dua warga terbabit kini berada dalam keadaan baik.

“Kedua lelaki itu dipindahkan ke tempat selamat selepas menjalani pemeriksaan perubatan. 

“Mereka juga sudah bercakap dengan keluarga masing-masing menerusi panggilan telefon,” jelas kementerian.

Jelas kementerian, kejayaan pembebasan dua lelaki itu merupakan hasil kerjasama antara kerajaan di Seoul dan syarikat terbabit serta melalui usaha sama tentera, polis dan pasukan risikan di Nigeria.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan sama ada wang tebusan  dibayar atau tidak.

Ketika insiden penculikan, anggota kumpulan bersenjata membunuh empat orang pengawal peribadi yang masing-masing terdiri daripada dua tentera Nigeria dan dua pemandu tempatan.

Kerajaan Korea Selatan berjanji untuk terus meneliti langkah-langkah untuk melindungi rakyatnya di Nigeria.

“Seoul secara aktif akan berhubung dengan agensi kerajaan berkaitan, pemilik syarikat dan rakyat Korea di luar negara untuk menghalang sebarang insiden penculikan berlaku lagi,” jelas kementerian.

Beberapa syarikat Asia termasuk dari China dan Korea Selatan, beroperasi di Nigeria yang terlibat dalam industri projek binaan jalan raya dan kereta api. 

Dilaporkan, jenayah culik untuk mendapatkan wang tebusan daripada mangsa merupakan kes biasa di Nigeria.

Malah, sejak dahulu lagi, pekerja asing terutama mereka yang terlibat dalam projek perlombongan dan binaan sering menjadi sasaran kumpulan penjenayah di negara itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya