COPENHAGEN: Parlimen Denmark mengguna pakai undang-undang yang menjenayahkan ‘layanan tidak wajar’ terhadap teks agama dan dengan berkesan mengharamkan pembakaran al-Quran.
Perkara itu dipersetujui selepas beberapa siri penghinaan terhadap kitab suci umat Islam yang berlaku di negara itu mencetuskan kemarahan dunia sepanjang musim panas lalu.
Rang undang-undang melarang layanan tidak wajar terhadap tulisan dengan kepentingan untuk komuniti agama yang diiktiraf, diluluskan selepas 94 undi menyokong dan 77 menentang dalam Parlimen Folketing yang mempunyai 179 kerusi.
“Kita mesti melindungi keselamatan Denmark dan rakyatnya. Oleh itu, adalah penting bahawa kita kini mempunyai perlindungan yang lebih baik terhadap penghinaan sistematik yang sudah kita lihat sejak sekian lama,” kata Menteri Kehakiman, Peter Hummelgaard dalam satu kenyataan.
Menerusi pelaksanaan undang-undang yang akan dinilai selepas tiga tahun itu, individu dilarang membakar, mengoyakkan atau mencemarkan teks suci secara terbuka atau dalam video yang bertujuan untuk disebarkan secara meluas.
Mereka yang melanggar undang-undang itu berisiko didenda atau penjara sehingga dua tahun.
Ketika diumumkan pada penghujung Ogos lalu, rang undang-undang itu dipinda berikutan kritikan draf pertamanya mengehadkan kebebasan bersuara dan sukar untuk dikuatkuasakan.
Denmark dan Sweden menjadi tumpuan kemarahan di negara Islam selepas beberapa protes membabitkan pembakaran dan mencemarkan al-Quran sebelum ini.
Berikutan itu hampir seribu penunjuk perasaan cuba berarak ke kedutaan Denmark di Zon Hijau Baghdad pada akhir Julai lalu.
Sebagai tindak balas kepada keadaan keselamatan yang semakin merosot, negara Skandinavia itu mengetatkan kawalan sempadan buat sementara waktu, tetapi kembali normal pada 22 Ogos lalu.
Menurut angka yang dikeluarkan polis negara, sebanyak 483 kes pembakaran buku, kitab atau bendera direkodkan di Denmark antara 21 Julai dan 24 Oktober tahun ini.-AFP