WELLINGTON: Datuk bandar Wellington mengakui mengalami masalah ketagihan alkohol selepas rakaman menunjukkan beliau kelihatan mabuk diedarkan dalam talian baru-baru ini.
Tory Whanau menjadi tajuk utama berita pada Julai lalu apabila didakwa meninggalkan sebuah restoran tanpa membayar bil selepas memberitahu pelayan ‘Adakah anda tahu siapa saya?’
Insiden terbaharu pula dilaporkan berlaku di Havana Bar di Wellington pada 18 November lalu selepas Whanau dan seorang lagi rakannya dirakam dalam keadaan mabuk.
Ketika menangani isu itu dalam satu kenyataan bertulis Rabu lalu, Whanau mengakui mempunyai masalah dengan alkohol dan merasa sangat malu apabila insiden itu dirakam.
“Saya mendapatkan nasihat daripada rakan, keluarga dan rakan sekerja saya dan sejak itu sudah mendapatkan bantuan profesional,” katanya.
Beliau menambah bahawa jawatan kepimpinan dalam jabatan awam tidak dibina untuk orang biasa yang mungkin bergelut dengan ketagihan, kesihatan mental, atau sebarang penyakit lain yang menimbulkan stigma.
“Kami melihat perkara sebegini banyak menamatkan kerjaya ahli politik di seluruh spektrum politik sejak kebelakangan ini.
“Saya seorang yang tidak sempurna, tetapi saya sangat mengambil berat tentang bandar ini. Saya akan terus mewakili harapan dan aspirasi komuniti tempatan dan melakukannya dengan belas kasihan orang di sekeliling saya serta bantuan profesional yang diperlukan,” jelasnya.
Selepas mendedahkan masalahnya dan mengulangi hasrat untuk kekal sebagai Datuk Bandar, Whanau menegaskan, individu lain yang bergelut dengan isu alkohol perlu mendapatkan bantuan namun masih boleh meneruskan komitmen terhadap minat, kerja, keluarga serta rakan mereka.
“Kami adalah orang yang kompleks dan patut dikasihi,” tambahnya.