BEIJING: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun mencipta rekod dunia baharu bagi kategori wanita selepas berjaya menyusun kiub rubik dalam masa paling singkat.
Cao Qixian dari wilayah Jiangsu di China, berjaya menyelesaikan kiub rubik 3x3x3 dalam purata 5.97 saat.
Qixian melakukan aksi itu di Kejohanan Terbuka Antarabangsa Persatuan Rubik Kiub Dunia yang berlangsung di Singapura.
Kanak-kanak perempuan itu mula bermain dengan kiub rubik sejak dia berusia tiga tahun.
Jelas laporan, Qixian mendapat ilham untuk menyusun kiub rubik dengan pantas daripada sepupunya yang mengajarnya seni `speed-cubing’.
Bagaimanapun, selepas kira-kira setahun, Qixian menjadi sangat mahir sehingga ibu bapanya mendapatkan khidmat jurulatih speed cubing untuk melatih anaknya.
“Qixian gemar menyelesaikan kiub rubik dengan pantas sehingga dia berlatih selama dua hingga tiga jam hampir setiap hari,” jelas laporan.
Sementara itu, ibu Qixian, Cao Qian berkata, dia tidak menyangka anaknya mampu mencipta rekod dunia baharu pada usia enam tahun.
Pada acara berlangsung di Singapura, Qixian menjadi wanita pertama yang menyusun kiub rubik 3x3x3 dalam masa kurang daripada enam saat (purata).
“Kami tidak pernah menyangka Qixian akan memecahkan rekod dunia secepat ini,” katanya.
Caption pixs: CAO Qixian berjaya menyelesaikan kiub rubik 3x3x3 dalam purata 5.97 saat. – AGENSI