BALI: Dua pekerja binaan, terkejut selepas menemukan mayat bayi diseret seekor biawak di kawasan Sungai Tukad Mati di Bali baru-baru ini.
Muhamad Helmi, 23, dan Huznuz Zamzami,28, berkata, kejadian berlaku ketika mereka berada di tingkat dua bangunan projek tempat mereka bekerja kira-kira pukul 7.30 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu.
Namun secara tidak sengaja, mereka ternampak seekor biawak sedang menarik sesuatu seperti bangkai ke tepi sungai.
Kerana ingin tahu, mereka berdua turun ke sungai dan ternyata yang diseret biawak itu adalah mayat bayi.
Muhammad dan Huznuz kemudian memberitahu kejadian itu kepada ketua mereka sebelum bergegas ke balai polis tempatan untuk membuat laporan.
Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Denpasar, Ketut Sukadi berkata, pasukan polis Denpasar segera ke lokasi kejadian untuk memeriksa mayat bayi itu yang dikatakan dalam keadaan mengerikan.
“Keadaan mayat bayi perempuan itu dilihat tiada tangan kiri, leher hampir putus dengan paha kirinya terkoyak.
“Ketika ini mayat bayi berkenaan sudah dipindahkan ke Hospital Prof Ngoerah Denpasar untuk tindakan lanjut,” kata Ketut kepada Kompas.com.