Bintang filem Fast and Furious didakwa lakukan serangan seksual - Utusan Malaysia

Bintang filem Fast and Furious didakwa lakukan serangan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Bintang filem aksi Hollywood, Vin Diesel dituduh melakukan serangan seksual terhadap pembantunya, Asta Jonasson di sebuah bilik hotel di Atlanta lebih sedekad lalu, menurut tuntutan mahkamah yang difailkan semalam.

Jonasson berkata tugas pertamanya selepas diupah oleh syarikat bintang filem ‘Fast and Furious’ itu adalah untuk pergi ke Atlanta pada September 2010 ketika penggambaran filem Fast Five.

Di sana, dia ditugaskan membantu Diesel untuk meninggalkan sebuah hotel pada awal pagi, sebelum paparazzi sedar mengenai kehadirannya.

Beliau mendakwa selebriti itu didakwa melayan ramai wanita dalam sebuah bilik di hotel terbabit.

“Ketika berada di bilik hotel bersama, Vin Diesel melakukan serangan seksual terhadap Jonasson. Vin Diesel secara paksa meraba payudara dan menciumnya. Jonasson terus bergelut untuk melepaskan diri sambil berulang kali berkata tidak.

“Vin Diesel kemudian terus menyerang dengan lebih rakus,” menurut kenyataan dalam tuntutan saman itu.

Saman itu menyatakan Jonasson melarikan diri ke bilik mandi, di mana Diesel mengejar dan memaksa untuk menyentuhnya. Dia kemudian menghimpitnya ke dinding dan melakukan onani.

Keesokan harinya, kakak kepada pelakon itu, Samantha Vincent dan presiden One Race, syarikat hiburan yang melantik Jonasson, didakwa menelefon dan memecatnya.

“Mesej itu jelas. Jonasson dipecat kerana berani melawan serangan seksual Vin Diesel. Vin Diesel akan dilindungi dan serangan seksualnya ditutup,” kata tuntutan saman itu.

Saman sivil itu menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan terhadap Diesel, Vincent dan syarikat mereka.

Setakat ini, AFP memaklumkan, usaha untuk mendapatkan reaksi wakil Diesel masih belum berhasil.

Jonasson mengetepikan hak supaya identitinya tidak didedahkan, yang lazimnya diberikan kepada mangsa yang didakwa terbabit dalam kes penderaan seksual.

Pergerakan #MeToo yang berperanan menentang penderaan dan gangguan seksual secara global menyaksikan lelaki berpengaruh dalam dunia hiburan dihukum atas dakwaan jenayah sedemikian.

Ia bermula dengan dakwaan terhadap penerbit filem Hollywood, Harvey Weinstein yang didakwa melakukan jenayah dari gangguan seksual hingga kepada serangan dan rogol sejak sedekad lalu terhadap hampir 100 wanita termasuk bintang ternama seperti Ashley Judd, Rosanna Arquette dan Rose McGowan.

Susulan itu, Hakim Mahkamah Jenayah New York, James Burke, menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun ke atas mogul Hollywood terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya