WASHINGTON: Hubungan baik antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan tegang selepas Biden mengkritik Israel yang semakin agresif dalam perang di Gaza.
Sejak perang berlaku pada awal Oktober lalu, Biden sentiasa menyokong tindakan Zionis di Gaza, malah membekalkan senjata kepada negara haram itu untuk menghapuskan Hamas.
Pada 12 Disember lalu, Biden dengan lantang menyatakan Israel akan kehilangan sokongan dunia sekiranya terus ‘menyerang Gaza secara bertalu-talu’.
Kenyataan Biden itu secara tidak langsung menimbulkan spekulasi mengenai hubungan baik antara pemimpin itu dengan Netanyahu semakin goyah.
Media AS turut melaporkan perkara tersebut menerusi artikel dalam CNN dan The Washington Post.
Namun, penganalisis memaklumkan, kecaman Biden terhadap Netanyahu itu tidak akan bermakna selagi AS terus menyokong Israel.
Pentadbiran Biden berdepan kecaman dan kemarahan banyak pihak, termasuk dari rakyat AS sendiri selepas terus menyokong Israel, malah menggunakan kuasa veto dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyekat resolusi gencatan senjata di Gaza.
“Tidak kisahlah sama ada Biden dan Bibi (Netanyahu) bergaduh atau tidak kerana, pada akhirnya, AS tetap menyalurkan dana kepada Israel.
“Kongres tetap menghantar senjata kepada tentera Zionis dan semuanya sama sahaja tanpa sebarang perubahan yang lebih baik,” kata penganalisis Laura Albast.
Katanya, jika benar Biden mengecam tindakan Netanyahu, kerajaannya tidak akan menyalurkan dana kepada Israel dan paling penting, AS akan mengundi bersetuju dengan resolusi gencatan senjata di Gaza.
Selain itu, rakyat AS juga dilaporkan semakin hilang kepercayaan dan keyakinan dengan Biden sejak perang di Palestin berlaku.
Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Universiti Monmouth pada minggu ini menunjukkan sokongan terhadap Biden semakin menurun.