FRANKFURT: Lebih banyak syarikat perkapalan antarabangsa tidak membenarkan kapal-kapal mereka melalui Laut Merah berikutan serangan kumpulan Houthi yang semakin meningkat.
Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan sektor perdagangan global terganggu, selain mencetuskan persoalan sama ada perlu atau tidak menubuhkan pasukan khas yang memantau keselamatan di kawasan perairan tersebut.
Serangan Houthi itu menyebabkan tekanan di Terusan Suez yang ketika ini mengendalikan sekitar 12 peratus perdagangan di seluruh dunia.
Terusan Suez antara laluan terpenting bagi pergerakan barangan antara Asia dengan Eropah, namun, menghantar kapal ke laluan alternatif boleh menjejasan rantaian bekalan global.
Situasi itu juga akan menyebabkan berlakunya kelewatan di pelabuhan, selain kekurangan kapal, kontena dan peralatan yang berisiko dihantar ke tempat salah.
Hapag-Lloyd mendedahkan, pihaknya akan memilih laluan alternatif bagi 25 kapal menjelang hujung tahun ini.
Mengelak laluan di Laut Merah dan terusan Suez menyaksikan banyak kapal terpaksa mengharungi laluan lebih jauh mengelilingi benua Afrika.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran mula menyerang kapal yang berlayar melalui Selat Bab-al-Mandab di bahagian selatan Laut Merah selama empat minggu.
Houthi menegaskan serangan itu dilakukan ekoran perang Israel yang masih berlanjutan di Gaza, Palestin.
Kumpulan itu menyatakan, serangan demi serangan akan dilakukan sehinggalah Israel menghentikan perang di Gaza.
Selain itu, golongan pedagang ketika ini terpaksa memikirkan alternatif lain bagi memastikan bekalan sampai kepada pihak yang sepatutnya, biarpun terpaksa mengeluarkan kos tinggi dengan menempah perjalanan udara.
Perjalanan kapal yang mengelilingi benua Afrika akan menjadi 10 hingga 14 hari lebih lambat daripada masa yang dijadualkan.