BANGKOK: Sekurang-kurangnya enam orang maut dan puluhan ribu isi rumah terjejas akibat banjir yang melanda selatan Thailand.
Menurut pihak berkuasa, banjir yang melanda sejak 22 Disember lalu, menjejaskan lebih 70,000 kediaman di seluruh wilayah Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Timbalan Gabenor Wilayah, Preecha Nualnoi berkata, enam orang termasuk seorang wanita berusia 89 tahun dan seorang bayi terbunuh di Narathiwat.
Jelasnya, seorang lagi mangsa masih hilang berikutan hujan lebat beberapa hari menyebabkan banjir yang mencecah ketinggian kira-kira tiga meter di kebanyakan kawasan.
Rakaman media tempatan menunjukkan beberapa jalan ditenggelami air sehingga penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung rumah.
Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand memaklumkan banjir sudah mula surut sejak pagi tadi.
Jelasnya, beberapa perkhidmatan kereta api di wilayah Narathiwat, bersempadan dengan Malaysia, disambung semula berikutan beberapa hari penutupan disebabkan landasan ditenggelami air. – AFP