SYDNEY: Australia memaklumkan pihaknya akan mengetatkan peraturan visa bagi pelajar antarabangsa dan pekerja asing berkemahiran rendah.
Langkah itu dilihat mampu mengurangkan pengambilan migran kepada kadar separuh dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ia dilaksanakan ketika kerajaan berusaha memperbaiki sistem migrasi yang disifatkan sebagai `sudah pecah’.
Keputusan itu dibuat selepas jumlah bersih imigresen dijangka meningkat pada rekod 510,000 pada tahun 2022-2023.
Data rasmi menunjukkan ia diramalkan merosot kepada kira-kira satu perempat juta pada tahun 2024-2025 dan 2025-2026, hampir sejajar dengan tahap pra-Covid.
“Kami sudah bekerja sepanjang masa untuk mencapai keseimbangan terbaik dalam sistem migrasi Australia.
“Pembaharuan yang disasarkan kerajaan sudah memberi tekanan terhadap penghijrahan bersih ke luar negara dan akan menyumbang lagi kepada penurunan dijangkakan ini,” kata Menteri Dalam Negeri, Clare O’Neil dalam kenyataan.
Menurut O’Neil, peningkatan dalam penghijrahan bersih luar negara pada 2022-2023, sebahagian besarnya didorong oleh pelajar antarabangsa.
Australia meningkatkan jumlah migran tahunan pada 2022 untuk membantu perniagaan utama merekrut pekerja bagi mengisi kekurangan golongan itu selepas pandemik Covid-19 menyebabkan pelaksanaan perintah berkurung lebih ketat.
Di bawah dasar baharu, pelajar antarabangsa memerlukan penarafan lebih tinggi untuk ujian bahasa Inggeris.
Ia juga akan menamatkan peraturan yang membenarkan pelajar menetap di Australia untuk tempoh lebih lama. – REUTERS