NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sekali lagi menangguhkan undian untuk resolusi yang beberapa kali tergendala sebelum ini mengenai perang di antara Hamas dan Israel, menurut sumber diplomatik.
Resolusi itu dijadualkan diundi semalam, walaupun Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menentang beberapa cadangan ketika penggubalan resolusi itu memaklumkan, negara itu bersedia untuk menyokongnya.
Selepas beberapa hari tertangguh, versi draf terbaharu yang dilihat AFP menyeru ‘langkah segera untuk membenarkan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan serta mewujudkan keadaan untuk pemberhentian permusuhan mampan’.
Ia bagaimanapun tidak menggesa konflik terbabit dihentikan serta-merta.
Duta Besar Washington ke PBB, Linda Thomas-Greenfield memberitahu wartawan, ‘jika resolusi itu dikemukakan sebagaimana adanya, maka kami boleh menyokongnya’.
Beliau menafikan draf resolusi terbabit dipinda.
Menurutnya, draf resolusi itu sangat kuat dan disokong sepenuhnya oleh kumpulan Arab.
Perbalahan diplomatik di ibu pejabat PBB di Manhattan menyebabkan undian ditangguhkan beberapa kali minggu ini, situasi berlaku ketika keadaan di Gaza semakin memburuk dengan angka kematian terus meningkat.
“AS dilihat mengambil kesempatan sepenuhnya daripada hasrat ahli majlis yang lain untuk mengelak veto,” kata penganalisis Kumpulan Krisis Antarabangsa, Richard Gowan.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menaja resolusi mengenai konflik itu yang dipinda dalam beberapa bidang utama untuk tujuan kompromi, menurut versi draf yang dilihat AFP.
Ia menuntut semua pihak membenarkan dan memudahkan penggunaan semua laluan ke seluruh Semenanjung Gaza termasuk lintasan sempadan bagi tujuan penyediaan bantuan kemanusiaan.
Menurut pihak berkuasa Hamas, Israel mengebom lintasan bantuan yang baru dibuka semula semalam.
Israel yang mendapat sokongan sekutunya, AS membantah istilah ‘gencatan senjata’ dan Washington menggunakan kuasa vetonya sebanyak dua kali untuk menggagalkan resolusi yang ditentang oleh Israel sejak permulaan perang.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata tidak akan ada gencatan senjata di Gaza sehingga Hamas dihapuskan.