BAITULMUQADDIS: Ketegangan di Asia Barat di lihat semakin memuncak berikutan perang berterusan Israel-Palestin dengan banyak letupan dilaporkan di pesisir pantai Mesir dan Yaman, susulan serangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq serta bedilan dari Lubnan.
KETEGANGAN MEMUNCAK
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mendakwa, pihaknya kini dikepung dalam perang pelbagai hala dan diserang di tujuh penjuru termasuk dari Gaza, Lubnan, Syria, Tebing Barat, Iraq, Yaman serta Iran.
Beliau turut menyenaraikan enam lokasi di mana terdapat kumpulan pemberontak atau pejuang disokong Iran selain yang berpangkalan di negara itu sendiri.
“Kami sudah bertindak balas dan mengambil tindakan di enam daripada lokasi ini,” katanya ketika berucap di Parlimen Israel.
Letupan turut kedengaran di luar pantai Semenanjung Sinai Mesir kelmarin dengan saksi melaporkan melihat sesuatu jatuh di Teluk Aqaba.
Televisyen Al Qahera News yang mempunyai kaitan dengan perisikan negara berkata, letupan itu berlaku kira-kira dua kilometer dari bandar Dahab di pesisir pantai Mesir.
Dahab terletak sekitar 125 kilometer di selatan Eilat di hujung selatan Israel, yang menjadi lokasi peperangan maut dengan pejuang Hamas di Gaza selama lebih 11 minggu.
Sejak semalam, Israel terus meningkatkan serangan di tapak pejuang Hamas dan terowong di Jabalia, utara Gaza serta selatan Khan Yunis walaupun PBB menyatakan kebimbangan besar terhadap keadaan semasa yang sudah meragut puluhan ribu nyawa penduduk Palestin.
Keadaan diburukkan lagi dengan konflik di Laut Merah, di sempadan Lubnan dan Iraq yang menambah ketegangan serantau.
Malah, Perancis selaku sekutu rapat Israel, turut mengakui pihaknya sangat bimbang dengan janji Israel untuk memperhebat dan memanjangkan pertempuran sehingga Hamas dihapuskan sama sekali.
Lapor akhbar Israel, Haaretz, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan kepada anggota parti konservatif, Likud pimpinannya bahawa beliau bersedia menyokong ‘penghijrahan sukarela’ orang awam Palestin keluar dari Semenanjung Gaza.
Namun, kenyataan itu dibantah sebagai tidak masuk akal oleh Hamas dan tidak boleh dibincangkan, manakala Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menegaskan cadangan mengusir penduduk Palestin ke Mesir bukan satu pilihan.
LAUT MERAH TERANCAM
Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa pihaknya berjaya mematahkan serangan puluhan dron dan bedilan peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Huthi di Yaman ke arah kapal di Laut Merah.
Menurut kenyataan Pusat Perintah Pentagon di media sosial, tiada kerosakan atau kecederaan direkodkan susulan serangan ke atas kapal dagang yang melalui perairan berkenaan.
Menurut Pentagon, serangan itu membabitkan 12 dron, tiga peluru berpandu balistik anti-kapal dan dua peluru berpandu serangan darat dalam tempoh 10 jam.
Terdahulu, kumpulan Huthi mengaku pihaknya bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah kapal di Laut Merah termasuk melakukan serangan dron ke arah Israel sebagai tanda solidariti dengan Gaza.
Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang itu berkata, mereka melancarkan operasi dengan menyasarkan kapal komersial yang dikenali sebagai MSC UNITED dan melakukan beberapa serangan dron di selatan Israel.
Serangan terbaharu menggunakan dron dan peluru berpandu itu dilancarkan kumpulan berkenaan sejak perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober lalu.
Kumpulan itu turut menjelaskan, mereka menyerang Israel dan semua kapal dikaitkan dengan negara Yahudi itu bagi mendesak serangan kejam rejim Zionis di Semenanjung Gaza dihentikan segera.
Semalam, penyedia maklumat ketenteraan dikenali sebagai Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) mengesan letupan peluru berpandu berhampiran pelabuhan Hodeida di pantai barat Yaman.
Bagaimanapun, sebuah kapal yang sedang transit dan anak kapalnya selamat sebelum meneruskan pelayarannya tanpa melaporkan sebarang kerosakan besar atau kecederaan anak kapal.
Pentagon mendakwa, kumpulan Huthi melancarkan lebih 100 serangan dron dan peluru berpandu, menyasarkan 10 kapal dagang yang membabitkan lebih 35 negara.
Serangan itu membahayakan laluan transit yang membawa sehingga 12 peratus perdagangan global, sekali gus mendorong AS menubuhkan pasukan petugas tentera laut antarabangsa untuk melindungi kapal di perairan itu.- AFP