WASHINGTON: Dua pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) dalam perjalanan ke Tel Aviv untuk menasihati Israel supaya mengelakkan pertempuran besar menentang Hamas di Gaza kepada kempen lebih terhad dan mencegah perang serantau yang lebih luas.
Lawatan itu dilakukan ketika kumpulan Houthi disokong Iran melancarkan gelombang serangan dron terhadap beberapa kapal di Laut Merah.
Malah, kumpulan Houthi menegaskan akan meneruskan serangan sehingga `pencerobohan’ Israel berakhir.
Menurut Komando Pusat AS, sebuah kapal perang Amerika yang ditugaskan kepada kumpulan penyerang pengangkut Ford, kapal pemusnah USS Carney `berjaya mengendalikan’ 14 serangan dron dilancarkan dari kawasan dikuasai Houthi di Yaman.
Britain melaporkan sebuah kapal pemusnah Tentera Laut Diraja miliknya menembak jatuh sebuah lagi dron yang menyasarkan kapal-kapal komersial.
Ia merupakan serangan terbaharu menyasarkan kapal-kapal komersial dan Tentera Laut AS di Laut Merah yang semakin memuncak selepas Israel memperhebatkan operasi ketenteraannya terhadap serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu.
Kedua-dua pegawai pertahanan AS berharap dapat menghalang risiko konflik serantau lebih luas menerusi kehadiran tentera AS secara berterusan dan dengan melibatkan diri bersama Israel untuk membolehkan mereka bergerak melangkaui pengeboman besar-besaran.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan Pengerusi Ketua Bersama, Jeneral CQ Brown dalam perjalanan menuju ke Israel.
Austin dan Brown pernah berkhidmat dalam peranan kepimpinan ketika tentera udara dan darat AS beralih daripada pertempuran besar kepada operasi menentang serangan intensiti rendah di Iraq dan Afghanistan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana nasihat kedua-dua pegawai tertinggi tentera itu akan memberi impak kepada pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Lawatan pegawai tertinggi itu secara tidak langsung menunjukkan usaha berterusan pentadbiran Presiden Joe Biden menyakinkan Israel untuk mengurangkan serangannya, malah Biden memberi amaran Israel berisiko kehilangan sokongan dunia susulan kekejaman di Gaza. – AP