WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata artileri 155 milimeter (mm) dan peralatan berkaitan yang bernilai AS$147.5 juta (RM677.6 juta) kepada Israel.
Kelulusan itu dibuat di bawah peruntukan kecemasan yang tidak memerlukan semakan Kongres seperti biasa.
Peruntukan sama digunakan pada awal bulan ini untuk meluluskan penjualan membabitkan kira-kira 14,000 peluru 120mm untuk kereta kebal kepada Israel yang ketika ini sedang bertempur dengan kumpulan pejuang Hamas di Gaza dalam konflik yang tercetus sejak Oktober lalu.
Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan memaklumkan Israel memohon agar artileri 155mm, primer dan caj ditambah kepada kes penjualan senjata kepada negara asing sebelum ini.
Ia secara tidak langsung meningkatkan kos keseluruhan dari anggaran AS$96.51 juta (RM443.4 juta) kepada AS$147.5 juta (RM677.6 juta) dan memerlukan pemberitahuan baharu.
Menurut kenyataan, Setiausaha Negara AS memaklumkan `wujudnya kecemasan yang memerlukan penjualan senjata segera kepada Israel’ sehingga mengetepikan keperluan semakan Kongres.
Berdasarkan kenyataan itu, amunisi itu akan dibekalkan daripada stok simpanan tentera AS.
“Israel akan menggunakan keupayaan yang dipertingkatkan untuk menghalang sebarang ancaman di serantau, selain mengukuhkan pertahanannya.
“Ia menjadi tanggungjawab setiap negara untuk menggunakan senjata api selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” jelas kenyataan itu.
Sejurus serangan pada 7 Oktober lalu, AS menghantar bantuan ketenteraan segera kepada Israel yang melaksanakan operasi serangan tanpa henti di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 21,507 penduduk Palestin yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel.
Kematian orang awam dan kemusnahan di Gaza akibat operasi ketenteraan Israel mencetuskan kemarahan dan kecaman dunia yang semakin meningkat.
Malah, imej AS juga terjejas disebabkan sokongan berterusan untuk Israel. – AFP