BOKKOS: Sekurang-kurangnya 160 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan dilakukan oleh kumpulan bersenjata di kawasan perkampungan di tengah Nigeria.
Jumlah kematian itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding angka awal dilaporkan oleh tentera pada petang Ahad lalu.
Sebelum ini, tentera mengesahkan seramai 16 orang maut di wilayah yang dibelenggu ketegangan agama dan etnik selama beberapa tahun.
Ketua kerajaan tempatan di Bokkos, Monday Kassah berkata seramai 113 orang disahkan terbunuh.
Kumpulan pemberontak yang digelar ‘penyamun’ melancarkan serangan terhadap kira-kira 20 komuniti berbeza dan membakar rumah mereka.
“Kami menemukan lebih 300 orang yang cedera dan menghantar mereka ke hospital di Bokkos, Jos dan Barkin Ladi, katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah melaporkan 104 kes kematian di 18 kampung di wilayah Bokkos.
Menurut ahli Parlimen, Dickson Chollom, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh di beberapa perkampungan sekitar Barkin Ladi.
Beliau juga mengutuk serangan kejam itu dan menggesa pihak berkuasa bertindak segera mengheret pembunuh ke muka pengadilan selain menjamin keselamatan wilayah berkenaan. – AFP